KUMARESAN ARAMUGAM TERIMA IJAZAH SARJANA PENTADBIRAN AWAM DI USM

USM PULAU PINANG, 1 Disember 2025 – Perjalanan pendidikan dan kerjaya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, Kumaresan Aramugam, bukanlah satu laluan yang mudah. Anak bongsu daripada empat beradik kelahiran Batu Gajah, Perak ini membuktikan bahawa komitmen, disiplin dan ketekunan mampu membuka ruang kejayaan walaupun di tengah kesibukan tugas sebagai wakil rakyat.
Kumaresan memperoleh pendidikan awal sepenuhnya di Batu Gajah sebelum melangkah ke Universiti Sains Malaysia (USM) bagi mengikuti Ijazah Sarjana Muda Pengurusan pada tahun 2008, dan menamatkan pengajian pada 2010.

Minat mendalam terhadap politik membawa beliau menyertai dunia politik sepenuh masa sejurus graduasi, bermula sebagai pembantu peribadi kepada Ahli Parlimen Bayan Baru.
Keinginan untuk menyambung pengajian sebenarnya sudah lama terpendam, namun kekangan masa serta tuntutan kerjaya menyebabkan cita-cita tersebut tertangguh hampir 13 tahun.
“Ketika itu, saya memang berminat untuk melanjutkan pengajian, tetapi kerana baru memulakan kerjaya, fokus saya lebih terarah kepada tanggungjawab kerja,” katanya.
Segalanya berubah apabila beliau mendapat bimbingan dan dorongan daripada Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (PPSK), Profesor Madya Dr. Mohamad Shaharudin Samsurijan, serta Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi dan Libatsama Industri-Komuniti, Profesor Madya Dr. Paramjit Singh Jamir Singh.

Sokongan moral daripada kedua-dua pensyarah ini memberi keyakinan kepada beliau untuk mendaftar ke program Ijazah Sarjana Pentadbiran Awam (MPA) pada tahun lalu.
Mengimbas kembali perjalanan setahun yang penuh cabaran itu, Kumaresan mengakui ia bukan proses mudah.
“Walaupun saya memakai beberapa ‘topi’, termasuk sebagai wakil rakyat dan pelajar sepenuh masa dengan kelas empat kali seminggu dari 6 petang hingga 9 malam yang sangat mencabar, saya tetap bertekad untuk tidak menangguhkan pengajian dan mahu menamatkannya dalam tempoh setahun,” ujarnya.
Beliau mengekalkan kehadiran kelas melebihi 85 peratus meskipun jadual hariannya padat dengan tugasan rasmi.
“Kali ini, saya tidak mahu terlepas mana-mana kelas. Bila melihat kembali, rasa seperti baru semalam mendaftar, tetapi hari ini sudah berkonvokesyen. Memang tidak sangka masa berlalu begitu cepat,” tambahnya.
Kumaresan turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh barisan akademik USM yang sentiasa memberi sokongan, selain rakan-rakan seperjuangan yang menjadi penguat sepanjang proses pengajian. Beliau menegaskan bahawa pendidikan adalah asas penting kepada pembentukan pemimpin berwibawa, bukan sahaja dalam politik, tetapi dalam pentadbiran serta pengurusan masyarakat.
“Bila kita ada ilmu, kita dapat membuat keputusan yang lebih baik, lebih berakauntabiliti, dan saya percaya pendidikan menjadikan kita pemimpin yang berkaliber serta mampu membawa idea baharu untuk kepentingan rakyat,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa prinsip hidup yang dipegangnya ialah sentiasa melakukan perkara yang betul, tidak berputus asa, dan terus melangkah walau berdepan kegagalan.
“Kejayaan akan datang bila kita buat perkara yang betul. Jangan give up. Kalau kita berhenti, kita takkan bergerak ke depan,” ujarnya ketika ditemui media.
Kini, selepas bergelar graduan MPA, Kumaresan merancang untuk meneruskan perjalanan akademiknya ke peringkat Doktor Falsafah (PhD). Kisah beliau turut membuktikan bahawa pendidikan tidak mengenal usia, dan kejayaan tidak pernah lewat untuk dikecapi selagi seseorang itu berani melangkah.
Teks: Anis Ariniey Asri/Suntingan: Dr. Miharaini Md Ghani, Pusat Pengajian Komunikasi/Foto: Click Crew
- Created on .
- Hits: 188