USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

“NOMBOR MATRIK HANYA BEZA SATU”: DUA BERADIK DARI SABAH SEHATI SEJIWA

USM, PULAU PINANG, 2 Disember 2025 – Ikatan istimewa dua beradik dari Pitas, Sabah terserlah pada Sidang Ke-14 Konvokesyen Ke-63 Universiti Sains Malaysia (USM) apabila Adeey Pirasa, 30, dan adiknya, Adei Pirasa, 28, menamatkan pengajian Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dalam bidang Sejarah dengan minor Geografi di Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) dengan nombor matrik yang hanya berbeza satu digit, simbol rapatnya hubungan mereka sepanjang pengajian.

WhatsApp Image 2025 12 02 at 21.03.28

“Kita semua sama, malah nombor matrik pun cuma beza satu je,” kata Adeey sambil tersenyum, menggambarkan keakraban mereka sebagai abang dan adik yang berkongsi minat serta perjalanan akademik yang hampir sama.

Menurut mereka, persamaan personaliti dan gaya menyebabkan ramai menyangka mereka kembar, walaupun hakikatnya mereka sekadar dua beradik yang mempunyai banyak persamaan sejak kecil.

Adeey yang kini berkhidmat sebagai Pembantu Tadbir di Sabah dan Adei yang telah menetap di Pulau Pinang sejak enam tahun lalu serta bertugas sebagai anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Balai Polis Pulau Tikus, sepakat menyatakan bahawa perancangan menyambung pengajian bermula dengan hasrat Adei sebelum mengajak abangnya untuk turut serta.

Mereka memilih USM kerana fleksibiliti pembelajaran PPPJJ yang membolehkan kuliah dijalankan secara atas talian dan hanya memerlukan kehadiran di pusat wilayah untuk peperiksaan, menjadikan program empat tahun tersebut pilihan paling praktikal untuk menyeimbangkan kerjaya dan pengajian.

Walaupun menanggung sendiri yuran pengajian menjadi cabaran utama, mereka bersyukur kerana kemudahan pembayaran ansuran yang disediakan USM banyak membantu perjalanan akademik mereka.

Kedua-duanya kini berhasrat menyambung pengajian ke peringkat sarjana dan berimpian memperoleh ijazah sarjana bersama sijil mengajar sebagai langkah merealisasikan cita-cita zaman kecil untuk menjadi pendidik.

“Bagi sesiapa yang ingin menyambung pengajian, saya cadangkan pilihlah USM,” ujar Adeey yang berharap kisah mereka mampu memberi inspirasi kepada masyarakat.

Adei pula menzahirkan rasa bangga kerana kini bergelar alumni USM dan optimis bahawa mereka mungkin kembali lagi sebagai pelajar pada peringkat seterusnya.

Kisah dua beradik ini menjadi sorotan pada Konvokesyen Ke-63 USM kerana memperlihatkan bahawa kejayaan lebih bermakna apabila ditempuh bersama insan yang paling dekat dalam hidup.

Teks: Lim Min Jun/Foto: Click Crew @ MPRC

  • Created on .
  • Hits: 86

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025