DUA DEKAD KEMUDIAN: PENGARAH KOMUNIKASI PULAU PINANG KEMBALI GENGGAM SARJANA DI USM

USM, PULAU PINANG, 2 Disember 2025 - Sidang Ke-14 Upacara Konvokesyen Ke-63 Universiti Sains Malaysia (USM) menampilkan kisah inspirasi apabila Yap Lee Ying, Pengarah Komunikasi Pulau Pinang merangkap Setiausaha Akhbar kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Chow Kon Yeow, kembali ke kampus sebagai graduan Sarjana Kaunseling selepas 20 tahun menamatkan pengajian Sarjana Muda Komunikasi di USM pada tahun 2003.
Walaupun sering ditanya tentang pemilihan haluan akademik yang berbeza daripada latar asalnya, Lee Ying menjelaskan bahawa beliau memilih bidang kaunseling kerana yakin mampu menjadi seorang kaunselor yang baik.
“Mengapa kaunseling? Sebab saya rasa saya boleh jadi seorang kaunselor yang baik,” katanya.

Menurutnya, hasrat kembali menyambung pengajian didorong keinginannya membantu masyarakat pasca COVID-19, selain menyedari bahawa kemahiran memberi bimbingan di tempat kerja wajar diperkembangkan secara profesional melalui latihan formal dalam bidang kaunseling.
Beliau mengakui tempoh pengajian selama tiga tahun (2022–2025) sebagai fasa yang mencabar kerana perlu menempuh ratusan jam praktikum, tugasan intensif dan latihan klinikal tanpa sebarang pengalaman asas dalam bidang tersebut, namun menegaskan bahawa minat yang mendalam menjadi kekuatan utama untuk meneruskan pengajian.
“Semangat yang mendalam itulah yang menggerakkan segala-galanya; selagi ada semangat itu, kita tidak akan takut untuk menyahut apa jua cabaran,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada suami, anak-anak, keluarga, rakan sekerja dan rakan seperjuangan yang sentiasa memberikan sokongan, sambil menyifatkan kejayaan ini sebagai pencapaian bersama.

Selepas menerima Ijazah Sarjana Kaunseling, beliau kini mempertimbangkan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah sebagai langkah seterusnya dalam perjalanan akademik dan kerjayanya.
Kisah Lee Ying menjadi sorotan yang mencerminkan komitmen USM dalam memperkasa pembelajaran sepanjang hayat melalui peluang akademik yang tidak terbatas oleh usia, kerjaya mahupun cabaran peribadi.
Teks: Lim Min Jun/Foto: Click Crew @ MPRC
- Created on .
- Hits: 93