USM TINGKAT OPERASI MEDIK DEMI KELANCARAN KONVOKESYEN KE-63
USM, PULAU PINANG, 2 Disember 2025 – Keselamatan menjadi tumpuan utama Universiti Sains Malaysia (USM) sempena Upacara Konvokesyen Ke-63, yang menghimpunkan ribuan graduan serta tetamu, melalui persiapan perubatan yang diperkukuh menerusi kerjasama strategik antara Pusat Sejahtera dan Pusat Perubatan Universiti Sains Malaysia Bertam (PPUSMB).

Jururawat PPUSMB, Nur Atika Abdul Rahim, menjelaskan bahawa pasukan perubatan ditempatkan pada beberapa zon strategik bagi memastikan bantuan kecemasan dapat diberikan dengan lebih pantas dan efektif, dengan setiap stesen paramedik dilengkapi peralatan lengkap dan dikendalikan mengikut prosedur Pusat Sejahtera USM.

“Kami dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu Pusat Sejahtera USM dan PPUSMB. Setiap stesen ini mempunyai dua hingga tiga orang petugas ditempatkan mengikut kawasan tertentu seperti di dalam dewan, di kawasan luar dewan dan pusat panggilan kecemasan,” jelas beliau.
“Tahun ini, kami menambah bilangan stesen daripada lima lokasi tahun lepas kepada lapan lokasi. Dengan penempatan strategik ini, kami dapat memberikan bantuan dengan lebih pantas dan efisien,” tambahnya.


Beliau turut menyatakan bahawa kepadatan kawasan upacara serta kedudukan kampus yang berbukit menjadi cabaran utama kepada mobiliti pasukan, namun semua operasi tetap dijalankan mengikut Standard Operating Procedure (SOP) yang telah terbukti berkesan dalam memastikan keselamatan graduan dan pengunjung.
“Harapan kami, semoga upacara konvokesyen akan terus berjalan lancar setiap tahun, dengan kerjasama baik daripada staf, graduan, dan waris. Setiap tahun, kami menambah baik jumlah stesen dan koordinasi pasukan supaya upacara ini sentiasa selamat dan terurus," ulasnya.
Dengan persiapan rapi, pembahagian tugas yang sistematik dan dedikasi tinggi petugas perubatan, USM sekali lagi membuktikan bahawa keselamatan graduan dan pengunjung kekal sebagai keutamaan, menjadikan kelancaran Upacara Konvokesyen Ke-63 hasil komitmen wira di belakang tabir yang bekerja tanpa henti.
Teks: Ain Nafisah Mustika Mohamad Razali, pelajar Pusat Pengajian Komunikasi/Suntingan: Shafinaz Md Ismail/Foto: Click Crew @ MPRC & Pusat Sejahtera
- Created on .
- Hits: 182