SFCF DAPAT SAMBUTAN MEMBERANGSANGKAN
PULAU PINANG, 6 Oktober – Sector Focused Career Fair (SFCF) 2013 bagi wilayah utara yang diadakan di Dewan Utama Pelajar, Universiti Sains Malaysia (USM) mendapat sambutan menggalakkan dari warga utara dengan kehadiran lebih 3000 orang. SFCF pada kali ini adalah yang pertama dijalankan di luar kawasan Kuala Lumpur.
Julung-julung kalinya program seperti ini dianjurkan yang hanya memfokuskan kepada tiga bidang utama iaitu Sains, Sains Sosial dan juga Sains Kesihatan. SFCS adalah anjuran Talentcorp Malaysia dengan kerjasama Pusat Penempatan Graduan, Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (BHEPP). SFCF dijalankan pada 5-6 Oktober 2013 dan mensasarkan para pelajar dari institut pengajian tinggi awam dan swasta sekitar Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan utara Perak.
“SFCF dapat adalah salah satu cara bagi graduan atau pelajar dan majikan bertukar-tukar pandangan mengenai pekerjaan dan kerjaya terutama dalam sektor yang dipilih. Perkembangan pesat bidang industri pada hari ini perlu diberi perhatian yang lebih oleh bakal graduan untuk terus kekal relevan,” kata Timbalan Naib Canselor (BHEPP), Profesor Dr. Adnan Hussein yang hadir merasmikan SFCF 2013.
Menurut pengarah projek SFCF, Mohd. Daniel Adam Janudin, antara aktiviti yang dijalankan sepanjang dua hari ini adalah pameran daripada syarikat-syarikat yang mengambil bahagian, couch talk- pelawat boleh duduk bersama-sama dan berbual dengan wakil-wakil syarikat, Sparc Talk dan Ceramah Kerjaya - untuk mendapatkan pandangan laluan kerjaya yang lebih jelas.
Sebanyak 32 syarikat mengambil bahagian dalam pameran kerjaya seperti Padiberas Nasional Berhad, Fitness Concept Specialist Chain Sdn Bhd, Hovid Berhad, Telekom Malaysia dan Silterra Malaysia Sdn Bhd.
SFCF seterusnya akan diadakan di Universiti Malaysia Pahang dan Universiti Teknologi Malaysia. Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1212