GRADUAN USM PERLU BERANI MENDIDIK DAN MENCARI PENYELESAIAN BERLANDASKAN NILAI KEMANUSIAAN – PRO-CANSELOR
USM PULAU PINANG, 2 Disember 2025 – Pro-Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin, menyeru para graduan agar berani mendidik dan mencari penyelesaian dalam mencapai kemajuan yang berlandaskan nilai kemanusiaan, seiring dengan falsafah Malaysia MADANI.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Sidang Keempat belas, Upacara Konvokesyen Ke-63 USM yang berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra, USM Pulau Pinang, pagi ini.

Sidang tersebut yang merupakan sidang terakhir Konvokesyen tahun ini, menyaksikan seramai 660 graduan Ijazah Sarjana dan Sarjana Muda daripada bidang Ilmu Pendidikan, Sains Matematik, dan Pendidikan Jarak Jauh (Sastera) menerima ijazah masing-masing.

Graduan sebagai Pendidik, Ahli Matematik, dan Pengkarya
Dalam ucapan beliau, Awang Adek menekankan bahawa graduan pendidikan perlu berani mendidik untuk masa depan yang belum terbayang, membentuk manusia yang mampu beradaptasi dengan perubahan dunia.
“Graduan matematik pula memegang kunci kepada kebenaran melalui logik dan data dalam mencari penyelesaian kepada cabaran nyata; manakala graduan sastera mengingatkan kita bahawa kemajuan tanpa jiwa hanyalah kekosongan yang tidak bernilai,” ujarnya.
Beliau menambah, “Graduan adalah penenun antara akal dan rasa, antara fakta dan makna; menjalin ilmu dengan hikmah, dan kemajuan dengan kemanusiaan.”
Pendidikan Melangkaui Bilik Kuliah
Menurut Awang Adek, dalam dunia pasca-pandemik yang dipacu kecerdasan buatan dan teknologi pintar, peranan graduan menjadi semakin penting.
“Teknologi mampu mengajar, tetapi hanya manusia mampu mendidik dengan hati,” katanya sambil menegaskan bahawa pendidikan kini perlu melangkaui batas bilik kuliah dan helaian silibus.
Beliau turut mengingatkan bahawa cabaran besar dalam dunia pendidikan hari ini termasuk isu disiplin, tekanan emosi, dan kehilangan rasa hormat dalam hubungan antara guru dan murid.
Justeru, pendidik perlu kembali mengangkat martabat ilmu sebagai wadah membina akhlak, sahsiah, dan budi pekerti.
Gabungan Disiplin Membentuk Insan Seimbang
Awang Adek menekankan bahawa gabungan tiga disiplin – pendidikan, matematik dan sastera – mencerminkan keutuhan falsafah USM yang mempertemukan sains dan kemanusiaan demi membina insan seimbang dalam ekosistem Malaysia MADANI.
Penghargaan dan Pesanan
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa, keluarga, pensyarah, dan staf universiti yang menjadi tunjang kekuatan graduan sepanjang perjalanan akademik mereka.
“Kepada para graduan, melangkahlah ke dunia luar dengan semangat juang yang tinggi, berbekalkan ilmu, nilai dan integriti yang telah dipupuk di USM. Gunakanlah ilmu anda untuk memperkasa insan, memperindah kemanusiaan, dan memperkukuh nilai bangsa,” pesan beliau.
Beliau menutup ucapan dengan seruan: “Jadilah pendidik yang menyinari minda dengan kebijaksanaan, ahli matematik yang menegakkan kebenaran melalui logik akal, dan pengkarya yang meniupkan roh kehidupan dalam budaya dan bahasa bangsa.”
Dengan berakhirnya Sidang Keempat belas ini, maka berakhirlah sudah Upacara Konvokesyen Ke-63 USM yang berlangsung dengan penuh tertib dan bermakna selama tujuh hari, bermula sejak 25 November lalu, yang menjadi saksi kepada kejayaan 9,347 graduan lagi menjejakkan langkah ke dunia baharu sebagai alumni kebanggaan USM.
Teks: Mazlan Hanafi Basharudin & Tan Ewe Hoe/Foto: MPRC
- Created on .
- Hits: 92