PPIP USM DOMINASI SIDANG KE-14 DENGAN GRADUAN PENDIDIK BERWIBAWA
USM, PULAU PINANG, 2 Disember 2025 – Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP) Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi menzahirkan komitmennya terhadap kecemerlangan akademik melalui penghasilan graduan berkualiti tinggi, berintegriti dan berdedikasi pada Sidang Ke-14 Upacara Konvokesyen Ke-63, dengan seramai 418 graduan PPIP menjadikan jumlah tersebut yang terbesar dalam sidang ini.
Pada sidang kali ini, pelbagai ijazah disampaikan meliputi Ijazah Sarjana Kaunseling, Sarjana Sastera Pendidikan, Sarjana Pendidikan, Sarjana Pendidikan dalam Pengurusan dan Pentadbiran Pendidikan, Sarjana Pendidikan dalam TESOL, Sarjana Pendidikan dalam Psikologi Pendidikan, Sarjana Pendidikan dalam Teknologi Pendidikan, Sarjana Muda Sastera dengan Pendidikan (Kepujian), Sarjana Muda Sains dengan Pendidikan (Kepujian) serta Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Kepujian), , dengan nama graduan dibacakan oleh Dekan PPIP, Prof. Madya Dr. Rahimi Che Aman.

Antara penerima pingat emas PPIP pada sidang ini termasuklah Afifah Athirah Iswanto dan Aii’na Mardhiah Din, selain beberapa graduan lain yang turut mengharumkan nama pusat pengajian.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, berkata bahawa dalam lanskap pendidikan yang dipengaruhi perubahan teknologi, tuntutan digital dan cabaran nilai kemanusiaan, peranan pendidik masa kini semakin kompleks serta signifikan dalam membentuk generasi baharu.

“Graduan dalam bidang ilmu pendidikan harus tampil sebagai pembimbing yang berempati, bijaksana dan mampu menyesuaikan pendekatan pedagogi mengikut keperluan pelajar masa kini,” ujar beliau.
Sementara itu, Pro-Canselor USM, Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin menegaskan bahawa pendidikan tidak wajar terbatas kepada bilik kuliah atau helaian silibus semata-mata, sebaliknya menuntut sentuhan kemanusiaan yang lebih mendalam.
“Teknologi hanya mampu mengajar, tetapi hanya manusia mampu mendidik dengan hati,” katanya.
Dengan berakhirnya Sidang Ke-14 Upacara Konvokesyen Ke-63, PPIP USM terus kekal sebagai institusi yang memainkan peranan penting dalam melahirkan pendidik berwibawa yang berupaya memperkukuh pembangunan sistem pendidikan negara.
Teks: Dharminy Dorairam, pelajar Pusat Pengajian Komunikasi/Foto: Click Crew @ MPRC
- Created on .
- Hits: 77