USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM RAI GRADUAN SAINS MATEMATIK PADA SIDANG AKHIR KONVOKESYEN KE-63

USM, PULAU PINANG, 2 Disember 2025 – Dewan Tuanku Syed Putra sekali lagi dimeriahkan dengan tepukan para hadirin apabila 197 graduan daripada Pusat Pengajian Sains Matematik diraikan pada Sidang Ke-14, iaitu sidang terakhir Upacara Konvokesyen Ke-63 Universiti Sains Malaysia (USM) yang berlangsung pada jam 9 pagi.

WhatsApp Image 2025 12 02 at 10.58.47

Sidang Ke-14 Upacara Konvokesyen Ke-63 ini turut dirasmikan oleh Pro-Canselor USM, Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin, bagi menyempurnakan penganugerahan Ijazah Sarjana dan Sarjana Muda kepada para graduan yang menerima ijazah mereka pada sesi penutup konvokesyen tersebut.

Dekan Pusat Pengajian Sains Matematik, Profesor Madya Dr. Ahmad Lutfi Amri Ramli, memperkenalkan graduan daripada pelbagai program pengajian termasuk Sains Matematik, Sains dalam Matematik, Sains (Matematik Pengajaran), Sains (Statistik), Sains dalam Statistik, Sains (Kepujian) dan Sains Gunaan (Kepujian) yang menerima skrol masing-masing pada hari ini.

WhatsApp Image 2025 12 02 at 10.58.47 1

Sidang ini turut menyaksikan penganugerahan Pingat Emas USM dan Hadiah Buku USM kepada graduan cemerlang daripada Pusat Pengajian Sains Matematik, antaranya Edward Ngui Shi Jie (Sains Kepujian) dan Chew Huat Seng (Sains Gunaan Kepujian) sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademik mereka.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Dr. Abdul Rahman Mohamed, berkata bahawa seramai 660 graduan diraikan pada Sidang Ke-14 daripada Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Pusat Pengajian Sains Matematik dan Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, sambil merakamkan ucapan tahniah kepada semua graduan.

Beliau menegaskan bahawa “peranan yang sama penting turut digalas dalam bidang Sains Matematik yang kini berhadapan dengan cabaran dunia dipacu data, kecerdasan buatan dan automasi; seperti kata Pythagoras ‘Number rules the universe’, matematik bukan sekadar alat kiraan tetapi kunci memahami keseimbangan alam serta kehidupan manusia,” jelasnya.

Dalam ucapan akhir Pro-Canselor, beliau menyatakan bahawa USM amat berbangga menyaksikan kejayaan para graduan pada hari yang bersejarah ini kerana mereka bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan akademik tetapi juga melambangkan nilai kesabaran, amanah dan tanggungjawab yang mendasari pembentukan insan berilmu dan berakhlak.

Dengan berakhirnya Sidang Ke-14, tamatlah secara rasmi Upacara Konvokesyen Ke-63, sekali gus membuktikan komitmen USM dalam melahirkan graduan berkualiti tinggi yang bersedia menyumbang kepada masyarakat dan negara.

Teks: Nurul Iffah Athirah Mohamad Aidil, pelajar Pusat Pengajian Komunikasi /Foto: Click Crew @ MPRC

  • Created on .
  • Hits: 68

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025