PENDIDIKAN TANPA SEMPADAN: 45 GRADUAN SASTERA TAMATKAN PJJ DI SIDANG KE-14 USM
USM, PULAU PINANG, 2 Disember 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus menegaskan komitmennya terhadap pendidikan inklusif dan inovatif apabila 45 graduan sastera daripada Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) diraikan pada Sidang Ke-14 Upacara Konvokesyen Ke-63, sekali gus membuktikan bahawa jarak dan kekangan geografi bukan penghalang untuk menimba ilmu secara menyeluruh.
Upacara yang berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) menyaksikan para graduan menerima Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dalam bidang Sejarah, Geografi dan Kesusasteraan daripada Pro-Canselor USM, Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin dalam suasana penuh penghargaan.
Nama graduan PJJ telah dibacakan oleh Dekan Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Prof. Madya Dr. Zulnaidi Yaacob, sebagai pengiktirafan kepada usaha gigih mereka sepanjang tempoh pengajian.

Program PJJ memberi penekanan kepada pembelajaran kendiri, penguasaan kemahiran intelektual dan penglibatan aktif dalam tugasan akademik yang membolehkan graduan menyesuaikan diri dengan tuntutan dunia pendidikan dan pekerjaan secara fleksibel.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, menegaskan bahawa “PJJ menjadi bukti bahawa pendidikan di USM bersifat inklusif dan merentas sempadan masa, geografi mahupun bidang, sekali gus menyokong aspirasi pembelajaran sepanjang hayat.”
Sidang ini bukan sahaja meraikan pencapaian akademik graduan, tetapi turut menonjolkan inovasi pendidikan USM dalam memastikan ilmu dapat diakses oleh semua, di mana sahaja mereka berada, sambil membentuk graduan berkemahiran tinggi serta berdaya saing untuk terus memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat dan negara.
Teks: Amna Nasuha Khotibsharbini, pelajar Pusat Pengajian Komunikasi/Foto: Click Crew @ MPRC
- Created on .
- Hits: 112