USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PEMENANG PINGAT EMAS USM SERU GRADUAN PIMPIN PERUBAHAN

WhatsApp Image 2025 12 02 at 11.35.35

USM PULAU PINANG, 2 Disember 2025 – Graduan Universiti Sains Malaysia (USM) diseru agar melangkah keluar dari alam kampus dengan tekad untuk menjadi generasi yang sanggup memberi serta berani memimpin perubahan.

Jeremy Lau Wei Han, 24, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian USM dan pemenang Hadiah Pingat Emas Canselor berkata, dunia ketika ini digerakkan oleh inovasi dan teknologi yang sentiasa berubah.

Justeru, ujarnya, masyarakat tidak perlu gusar atau takut untuk meneroka peluang yang hadir seiring kemajuan teknologi, sebaliknya memanfaatkan setiap ruang yang boleh diperkasakan demi mencipta impak yang lebih bermakna.

“AI adalah satu kemudahan yang sangat meluas dan antara teknologi yang mampu memberi pendedahan besar buat semua pihak.

“Kita tidak perlu takut kepada teknologi kerana pada asasnya ia dicipta untuk memudahkan hidup manusia, dan apa yang menentukan manfaat atau risikonya ialah cara kita memilih untuk menggunakannya,” kata beliau lagi.

Jeremy juga berkata, sepanjang berada di USM beliau menggunakan masa sebaiknya untuk meraih pengalaman baharu, termasuk membina jaringan dengan komuniti lebih besar di luar kampus.

Beliau turut berpeluang merasai pengalaman ke luar negara, iaitu ke Amerika Syarikat dan Kanada dalam program mobiliti USM, yang turut menjadi antara memori yang memberi perubahan besar kepada dirinya untuk menjadi lebih yakin dan bersemangat.

Anak bongsu daripada empat beradik itu adalah antara graduan yang diraikan sempena Upacara Konvokesyen ke-63 USM.

Beliau sebelum itu menerima Pingat Emas yang dikurniakan Canselor USM, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail pada sidang pertama upacara konvokesyen baru-baru ini.

Pada upacara kali ini, seramai 9,347 graduan menerima ijazah masing-masing, merangkumi graduan Ijazah Tinggi (PhD – 865 dan Sarjana – 3,501), Ijazah Sarjana Muda (4,934) serta Diploma Kejururawatan (47).

Teks: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 162

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025