PRO-CANSELOR: GRADUAN BAHASA DAN TEKNOLOGI DIGITAL PEMACU MASA DEPAN EKONOMI NEGARA
USM PULAU PINANG, 1 Disember 2025 – Pro-Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussein, menegaskan bahawa graduan USM bukan sahaja dilahirkan sebagai tenaga mahir, tetapi juga sebagai pemimpin yang mampu menyeimbangkan kemajuan teknologi dengan nilai kemanusiaan.

Dalam ucapan beliau di Sidang Ke-13, Konvokesyen Ke-63 USM, Awang Adek merakamkan ucapan tahniah kepada 693 graduan daripada bidang Bahasa, Literasi dan Terjemahan serta Sains Komputer.

“Sidang ini menonjolkan dua lagi kekuatan utama universiti: bahasa dan teknologi digital. Bahasa membina kefahaman, teknologi membina kemajuan. Kedua-duanya mesti saling melengkapi,” katanya.

Beliau menekankan bahawa graduan Bahasa, Literasi dan Terjemahan memainkan peranan penting memperkukuh bahasa sebagai jambatan ilmu dan budaya, manakala graduan Sains Komputer menjadi peneraju dalam bidang kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber, data raya, dan inovasi digital yang membentuk masa depan ekonomi negara.

Awang Adek turut mengingatkan bahawa globalisasi dan teknologi maklumat telah mengubah cara manusia berkomunikasi, malah istilah baharu seperti “OOTD”, “PM” dan “hashtag” kini menjadi norma komunikasi digital.
Fenomena ini, jelas beliau, menandakan pengaruh sains komputer dalam membentuk ekosistem linguistik baharu.
“Graduan hari ini bukan sekadar pengguna teknologi, tetapi pemimpin dalam menyeimbangkan kemajuan digital dengan nilai kemanusiaan dan kebijaksanaan budaya,” ujar beliau.
Beliau menegaskan bahawa dalam semangat Pelan Pendidikan Tinggi dan Malaysia MADANI, USM kekal komited melahirkan graduan yang menguasai teknologi tanpa kehilangan jiwa kemanusiaan.
Ucapan beliau turut menyeru graduan agar menghargai jasa ibu bapa, pasangan, keluarga, pensyarah dan seluruh warga kampus yang menjadi tunjang kekuatan sepanjang perjalanan akademik mereka.
“Semakin tinggi ilmu yang dimiliki, semakin wajar kita berbakti dan berbudi kepada masyarakat,” pesan Awang Adek dengan merujuk kepada kata pepatah Melayu, ‘Ibarat padi, semakin berisi semakin tunduk.’
“Dunia menanti sentuhan dan sumbangan anda,” katanya menutup ucapan dengan penuh semangat.
Turut hadir ialah Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Ahli Lembaga Gabenor Universiti; Ahli-ahli Senat; serta pegawai-pegawai utama universiti.
Konvokesyen Ke-63 USM yang akan melabuhkan tirainya esok, menyaksikan seramai 9,347 graduan menerima ijazah masing-masing dalam 14 sidang, termasuk seorang penerima Ijazah Kehormat.
Turut menerima skrol ialah graduan Ijazah Tinggi (Kedoktoran – 865 dan Sarjana – 3,501), Ijazah Sarjana Muda (4,934), serta Diploma Kejururawatan (47).
Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: MPRC
- Created on .
- Hits: 148