GRADUAN SAINS KOMPUTER USM SEDIA PENUHI KEPERLUAN INDUSTRI DIGITAL NEGARA

USM, PULAU PINANG, 1 Disember 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh peranannya sebagai antara institusi peneraju dalam bidang teknologi digital negara, dengan melahirkan graduan Sains Komputer yang berpengetahuan tinggi, berdaya saing serta selari dengan keperluan industri digital semasa.
Program-program pengajian yang ditawarkan di Pusat Pengajian Sains Komputer (PPSK) USM sentiasa ditambah baik bagi memastikan para pelajar menguasai kemahiran teknikal yang relevan, termasuk kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber, sains data, pembangunan sistem serta teknologi perisian terkini.
Dekan Pusat Pengajian Sains Komputer USM, Profesor Madya Dr. Wan Mohd Nazmee Wan Zainon, berkata USM sentiasa memantapkan kurikulum mengikut keperluan semasa, sekali gus mempersiapkan graduan yang berpotensi menyumbang kepada ekosistem digital negara.
Katanya, USM hanya menyediakan platform untuk graduan menimba ilmu, namun graduan sendiri perlu yakin dengan kebolehan masing-masing dan sentiasa bersedia meneroka peluang baharu dalam dunia teknologi yang berkembang pesat.
“Saya amat berharap agar graduan mengambil setiap pengalaman di kampus untuk membina nama di luar. Jadikan setiap ilmu, projek penyelidikan, dan pengalaman sepanjang berada di USM sebagai asas untuk memberi sumbangan lebih besar kepada negara,” katanya.
“Malaysia memerlukan bakat muda yang mampu memimpin transformasi digital dan membangunkan penyelesaian berimpak tinggi untuk masyarakat,” tambahnya.
Beliau turut menegaskan bahawa graduan USM berada pada landasan kukuh untuk memenuhi permintaan tenaga kerja digital negara memandangkan sektor teknologi kini menjadi pemacu penting pertumbuhan ekonomi dan inovasi nasional.
Wan Mohd Nazmee berkata demikian ketika ditemui sejurus tamat Sidang Ke-13 Upacara Konvokesyen Ke-63 USM selepas penyampaian skrol kepada graduan pusat pengajian yang menamatkan pengajian dalam kursus masing-masing.
Antara skrol yang disampaikan termasuk Ijazah Sarjana Informatik, Sarjana Sains (Sains Data dan Analitik), Sarjana Sains Komputer, Sarjana Sains dalam Transformasi Digital, Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian, dan Sarjana Muda Sains Komputer.
Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: MPRC
- Created on .
- Hits: 208