USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SIDANG 12: UNIFORM SANG SAKA BIRU SUNTIK SEMANGAT GENGGAM IJAZAH SARJANA

WhatsApp Image 2025 12 02 at 21.09.17

USM, PULAU PINANG, 1 Disember 2025 – Sidang Kedua Belas Upacara Konvokesyen Ke-63 Universiti Sains Malaysia (USM) menyaksikan kejayaan seorang anak kelahiran Sibu, Sarawak, YDH ACP Kamarul Rizal Jenal, yang berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Pentadbiran Awam meskipun bergelar pegawai polis yang memikul tanggungjawab berat.

Kamarul Rizal, yang kini berkhidmat sebagai Pegawai Polis di Unit D9 Ibu Pejabat Kontinjen Bukit Aman, menyatakan bahawa komitmen terhadap kerjaya tidak pernah melemahkan tekadnya untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana.

Menurut beliau, pengajian yang dijalani sepanjang tempoh bertugas sebagai pegawai polis menuntut kekuatan mental dan fizikal kerana pelbagai cabaran perlu diuruskan serentak, sekali gus menguji tahap disiplin serta kesungguhan diri.

Kamarul Rizal turut berkongsi pengalaman paling mencabar apabila ditukarkan ke Ibu Pejabat Kontinjen Bukit Aman dan terpaksa berulang-alik ke USM bagi menghadiri kelas, namun tetap berpegang pada komitmen untuk menamatkan pengajian.

“Menimba ilmu merupakan fardhu kifayah untuk umat Islam,” jelasnya, sambil menyifatkan prinsip tersebut sebagai dorongan utama yang membantunya meneruskan pengajian sehingga berjaya memperoleh ijazah.

Beliau turut menyeru masyarakat supaya tidak menangguhkan hasrat untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, kerana ilmu merupakan bekalan penting untuk meningkatkan kualiti diri dan memberi manfaat lebih besar kepada masyarakat.

Teks: Airul Afzan Azlan, intern @ MPRC

  • Created on .
  • Hits: 398

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025