GRADUAN BAHASA INGGERIS DAN TERJEMAHAN UNTUK PROFESIONAL TERIMA IJAZAH DI KONVOKESYEN KE-63 USM
USM PULAU PINANG, 1 Disember 2025 – Konvokesyen ke-63, Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menyaksikan graduan dari Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan (SoLLaT) menerima ijazah masing-masing dari Pro-Canselor, Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin.

Seramai 249 graduan layak menerima ijazah masing-masing, yang terdiri dari lulusan Ijazah Sarjana Sastera (Terjemahan untuk Profesional), Sarjana Sastera Terjemahan untuk Profesional, dan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) Bahasa Inggeris untuk Profesional, merangkumi pelajar dari dalam dan luar negara.
Menurut Pro-Canselor, pusat pengajian terbabit menggalas peranan penting dalam usaha memperkukuh kemahiran dari segi bahasa, literasi dan terjemahan sebagai jambatan terhadap kefahaman ilmu dan budaya, selain memastikan nilai-nilai kemanusiaan terus terpelihara.
Di samping itu, tambahnya lagi, kecenderungan penggunaan internet dan media sosial telah memberi kesan kepada cara manusia berfikir dan berinteraksi.
“Di sini akan ada pengaruh sistem pengkomputeran terhadap ekosistem tatabahasa baharu.
“Bahasa bukan hanya akan menjadi alat komunikasi semata-mata, tetapi juga akan menjadi sebahagian dari data untuk dianalisis, ditafsir, dan dijana semula oleh mesin.
“Dengan ini, akan ada saling pergantungan berterusan di antara kedua-dua bidang ini pada masa hadapan,” ujar beliau.
SoLLaT telah dinaikkan taraf pada tahun 2008 selaras dengan perkembangan dan keperluan pihak Universiti. Pada awalnya ia adalah Pusat Bahasa dan Terjemahan yang ditubuhkan pada tahun 1972.
Konvokesyen ke-63, Universiti Sains Malaysia sedang berlangsung dari 25 November – 2 Disember 2025.
Teks: Mazlan Hanafi Basharudin/Foto: MPRC
- Created on .
- Hits: 288