USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

“ILMU BUKAN UNTUK DIMILIKI SEMATA-MATA, TETAPI UNTUK DIKONGSI DAN DIMANFAATKAN DEMI KEBAIKAN BERSAMA,” PESAN PRO-CANSELOR

USM PULAU PINANG, 1 Disember 2025 – Pro-Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin menegaskan bahawa graduan USM bukan sahaja dilahirkan sebagai tenaga mahir, tetapi juga sebagai pemimpin berjiwa rakyat yang membawa keseimbangan antara ilmu dan nilai kemanusiaan.

WhatsApp Image 2025 12 01 at 12.39.34 d15a6d74

Dalam ucapan beliau di Sidang Kedua Belas, Upacara Konvokesyen Ke-63 USM pagi ini, Awang Adek merakamkan ucapan tahniah kepada 776 graduan daripada bidang Kewangan Islam Global, Pengurusan Profesional, Ekonomi, Pentadbiran Awam, Kerja Sosial, dan Sains Kemasyarakatan.

WhatsApp Image 2025 12 01 at 12.46.48 ee3b724f

“Ilmu yang anda peroleh adalah amanah besar. Gunakanlah untuk membawa kebaikan, memperkasa masyarakat, dan memajukan negara. Jadilah pengurus yang adil, ahli ekonomi yang beretika, dan penjawat awam yang berjiwa rakyat,” katanya.

Beliau mengingatkan para graduan, “Ilmu bukan untuk dimiliki semata-mata, tetapi untuk dikongsi dan dimanfaatkan demi kebaikan bersama.”

WhatsApp Image 2025 12 01 at 12.46.48 3a00d0a0

Beliau menekankan bahawa dunia hari ini menuntut graduan tampil lebih berani, berfikiran terbuka, dan bijak menyesuaikan diri dalam era baharu yang dipacu oleh teknologi kecerdasan buatan.

Awang Adek turut menegaskan peranan graduan dalam menangani cabaran global seperti krisis kewangan, perubahan iklim, dan ketidaksamaan sosial.

WhatsApp Image 2025 12 01 at 12.46.48 91b73007

“Graduan Kewangan Islam dan Ekonomi diharap membawa prinsip keadilan dan kelestarian dalam ekonomi moden, manakala graduan Kerja Sosial, Pentadbiran Awam, dan Sains Kemasyarakatan menjadi suara nurani yang memastikan pembangunan tidak meninggalkan sesiapa,” katanya.

Konvokesyen kali ini, jelas beliau, mencerminkan cita-cita USM dalam konteks Pelan Pendidikan Tinggi dan Malaysia MADANI, iaitu membina ekosistem pendidikan yang seimbang antara ilmu dan nilai, sains dan kemanusiaan, demi melahirkan pemimpin yang peduli terhadap kesejahteraan sejagat.

Beliau turut menyeru para graduan agar menghargai jasa pensyarah, ibu bapa, dan keluarga yang menjadi tunjang kekuatan sepanjang perjalanan akademik mereka.

“Anda kini pemegang obor keinsanan yang dilaungkan oleh universiti ini. Sinarkanlah cahaya itu dengan keberanian, kebijaksanaan, dan kasih terhadap seluruh umat manusia,” ujar beliau menutup ucapan.

Turut hadir dalam sidang ini adalah Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Ahli Lembaga Gabenor Universiti; Ahli-ahli Senat USM; dan pegawai-pegawai utama Universiti.

Pada petang ini akan berlangsung Sidang Ketiga belas yang bakal menyaksikan seramai 693 graduan Sarjana dan Sarjana Muda dari Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan, dan juga Pusat Pengajian Sains Komputer, menerima skrol daripada Pro-Canselor, Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin.

Konvokesyen ke-63 USM sedang berlangsung dari 25 November hingga 2 Disember 2025 di kampus induk USM.

Teks: Mazlan Hanafi Basharudin & Tan Ewe Hoe/Foto: MPRC

  • Created on .
  • Hits: 257

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025