776 GRADUAN DIRAI: SIDANG KE-12 SERLAHKAN KECEMERLANGAN SAINS KEMASYARAKATAN DAN PENGURUSAN

USM, PULAU PINANG, 1 Disember 2025 – Pro-Canselor Universiti Sains Malaysia, Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin merasmikan pembukaan Sidang Kedua Belas Upacara Konvokesyen Ke-63 pada jam sembilan pagi, yang menandakan permulaan sesi penganugerahan seterusnya kepada graduan sarjana dan sarjana muda di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP).
Seramai 776 graduan bersama ahli keluarga hadir meraikan pencapaian akademik mereka yang diperoleh melalui usaha gigih sepanjang tempoh pengajian.

Daripada jumlah tersebut, 332 graduan merupakan penerima ijazah daripada Pusat Pengajian Pengurusan melalui program Sarjana Kewangan Islam Global dan Sarjana Pengurusan Profesional.


Baki 444 graduan pula adalah daripada Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, merangkumi Sarjana Kerja Sosial, Sarjana Pengurusan Ekonomi, Sarjana Pentadbiran Awam, Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian), Sarjana Muda Kerja Sosial (Kepujian) serta Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan (Kepujian).
Turut diraikan pada sidang ini ialah para penerima anugerah kecemerlangan termasuk Anny Lim En Ni yang menerima Hadiah Pingat Emas Universiti Sains Malaysia untuk pelajar tahun akhir terbaik Ijazah Sarjana Muda Kerja Sosial (Kepujian) yang ditaja Yayasan Lin bagi memperingati Puan Y. C. Lin.
Seterusnya, Tan Wei Zhen menerima Hadiah Pingat Emas Universiti Sains Malaysia untuk pelajar tahun akhir terbaik Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) bagi memperingati P. P. Narayanan.
Sementara itu, Nurul Saedah Abdul Hajis menerima Hadiah Pingat Emas Universiti Sains Malaysia bagi pelajar tahun akhir terbaik dalam bidang Ekonomi yang ditaja Kelab Rotary Pulau Pinang.
“Kejayaan yang diraikan hari ini membuktikan bahawa ilmu dan usaha gigih tidak dapat dipisahkan” tambah beliau.
Beliau juga menyeru agar para graduan mengaplikasikan ilmu yang didapati di USM untuk menjadi seorang yang berani berfikir dan mampu memimpin dengan kebijaksanaan dan belas insan.
“Pastikan pembangunan tidak meninggalkan sesiapa di belakang,” ujar beliau.
Beliau menambah bahawa gabungan dua bidang ini melengkapi misi USM dalam melahirkan graduan yang mampu berfikir secara saintifik serta bertindak dengan kebijaksanaan moral.
Dengan itu, Sidang Kedua Belas Upacara Konvokesyen Ke-63 membuktikan bahawa USM bukan sahaja memberi penekanan kepada bidang STEM tetapi turut menitikberatkan kepentingan sains kemasyarakatan dan pengurusan sebagai tunjang pembangunan masyarakat.
Teks: Sara Hannah Sahan Shah, pelajar Pusat Pengajian Komunikasi/Foto: Click Crew @ MPRC
- Created on .
- Hits: 166