USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

AHLI LGU USM KONGSI PENGALAMAN BERHARGA

031013-6

PULAU PINANG, 3 Okt. 2013 – Kejayaan dan kepuasan dalam menjalankan sesuatu perkara walaupun tanpa sebarang balasan boleh diperoleh dengan amalan memberi hanya yang terbaik dan berbekalkan empat sikap positif iaitu ekspresif, sistematik, peka dan rajin.

Demikian tegas Ahli Lembaga Gabenor Universiti Sains Malaysia (USM) merangkap Pengerusi Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), Dato’ Zuraidah Atan ketika mengulas antara rahsia kejayaanya dalam lapangan karier serta penglibatan aktif dalam kerja-kerja sukarela dan kemasyarakatan.

031013-7

Katanya, tiada yang mustahil untuk dilakukan dengan syarat seseorang individu perlu menzahirkan komitmen yang tinggi serta tidak mudah mengaku kalah, selain perlu disertakan dengan minat dan kecintaan terhadap perkara yang dilakukan.

``Dalam apa jua profesion yang dijalankan kita perlu menunjukkan kecemerlangan tanpa mengira situasi. Dalam situasi mana pun tidak mengira senang atau susah, menarik atau tidak, kita mesti berikan hanya yang terbaik.

DSC 0079

``Kita juga perlu mencabar keupayaan diri untuk terus bergerak ke hadapan. Bersaing secara sihat dan tunjukkan komitmen yang tinggi untuk mendapatkan hasil yang diinginkan,’’ ujar beliau dalam syarahannya di sini hari ini.

Zuraidah hadir ke USM bagi menyampaikan syarahan umum peringkat kebangsaan anjuran Pusat Penyelidikan Pembangunan Wanita (KANITA) USM bertajuk Women’s Way of Knowing: Memobilisasi ke Arah Malaysia yang Lebih Sejahtera: Satu Perkongsian Pengalaman.

Beliau antara lain mengupas sikap-sikap positif untuk seseorang individu khususnya wanita terus maju dan berdaya saing melalui perkongsian pengalamannya sebagai tokoh wanita terkenal tanah air.

DSC 0086

Zuraidah, alumni University Buckingham, England sangat aktif berkecimpung dalam dunia korporat dan juga aktivis sosial yang komited dalam aktiviti kesukarelawan dan kemasyarakatan.

Beliau yang berpengalaman lebih 26 tahun dalam industri perbankan turut menjadi wanita pertama yang dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah HSBC Bank Malaysia Berhad pada tahun 2004 dan bergelar Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Affin Merchant Bank (kini dikenali sebagai Affin Investment bank).

Dalam perspektif kesukarelawan pula, katanya, seseorang tidak perlu menunggu untuk berada di bawah mana-mana organisasi, kumpulan, persatuan dan sebagainya untuk bertindak.

``Semuanya perlu bermula dengan semangat secara individu. Gunakan jaringan rangkaian yang ada untuk bergerak dan bertindak khususnya melalui konteks rakan-rakan, kenalan, tokoh dan sebagainya.

``Ini antara strategi saya dalam menjalankan kegiatan sukarela dan kemasyarakatan. Ia secara tidak langsung telah membuahkan hasil yang di luar jangkaan, tanpa perlu berada dalam mana-mana perkumpulan,’’ ujarnya.

Melalui penglibatannya bersama YSS, Zuraidah juga telah berjaya memperkenalkan dan mendedahkan pelajar universiti kepada penganjuran aktiviti bersama komuniti melampaui konteks tempatan iaitu dengan penglibatan negara-negara ASEAN.

Beliau turut menjadi penggerak aktif Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) serta menerajui pelbagai aktiviti bagi membantu wanita meningkatkan kemahiran dan kecekapan teras supaya wanita dapat memainkan peranan sebagai tenaga kerja berpengetahuan. Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: Mohd Fairus Md Isa

 

  • Created on .
  • Hits: 1566

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024