DARI JURUTERA KE USAHAWAN SME
PULAU PINANG, 3 Okt 2013 – Atas minat mendalam dan keinginan untuk mencabar keupayaan diri, seorang anak jati Pulau Pinang nekad berhijrah ke luar negara dengan berbekalkan hanya USD2,000 sebagai wang saku untuk memulakan hidup.
Itu antara pengalaman yang dikongsi Pengerusi merangkap Presiden Mini-Circuits Technologist Malaysia, Dato’ Seri Kelvin Kiew, yang turut meninggalkan kerjayanya sebagi jurutera semata-mata mahu mengejar cita-cita lebih besar.
Katanya, beliau sedar bahawa keupayaannya bukan setakat untuk bekerja makan gaji, sebaliknya bertekad untuk mencabar kemampuannya dengan berhijrah meninggalkan negara tercinta untuk satu matlamat, berjaya dalam hidup.
Tokoh usahawan industri kecil dan sederhana (SME) itu turut berkongsi pengalaman lebih 30 tahun di perantauan sehingga pernah tidur di dalam kereta dan mandi di tandas awam sebelum mengecapi kejayaan dalam bidang perniagaan.
``Saya ke Amerika Syarikat dengan bermodalkan wang USD2,000 hasil menjual kereta yang dipakai.
``Saya nekad dan berjanji kepada ibu saya untuk membawa pulang kejayaan dan kesenangan buat diri sendiri dan juga keluarga,’’ ujarnya ketika hadir bagi menyampaikan syarahan bertajuk Building SME Supply Chain Eco System and Enterprise Success Formula sempena USM-CEO Talk Series di Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini.
Namun ujarnya, kejayaan tidak datang bergolek dan dia pernah melalui pelbagai onak liku sebelum berada pada tahapnya pada hari ini dengan menjalankan perniagaan berkeuntungan sehingga 400juta setahun, memiliki 16 syarikat serta 10,000 pekerja.
Tambah beliau, antara yang dipelajarinya dengan pengalaman lebih 30 tahun dalam dunia perniagaan, tiada jalan mudah untuk memperoleh kejayaan, sebaliknya ia perlu disertai dengan keazaman dan keinginan yang tinggi.
Untuk berjaya dalam perniagaan ujarnya, seseorang juga perlu bermula dari bawah dengan berbekalkan kemampuan yang ada, bukan menunggu untuk segala kelengkapan material disediakan untuk bertindak.
``Bagi saya kita tidak perlu ada modal yang besar, pekerja yang ramai mahupun bangunan yang gah untuk memulakan tindakan. Cukup sekadar dengan percaturan yang bijak dan pengetahuan serba sedikit dalam dunia perniagaan,’’ katanya.
Beliau turut berkongsi pengalaman dalam perspektif SME dan berpendapat Malaysia tidak seharusnya terlalu bergantung kepada pelaburan negara asing untuk terus berdaya saing.
``Syarikat-syarikat tempatan perlu diberi kepercayaan dan sokongan untuk terus berdaya saing dan dalam masa yang sama syarikat tempatan juga perlu aktif melibatkan diri dalam rantaian penawaran antarabangsa,’’ katanya.
Katanya, kerajaan juga dicadangkan untuk memberi lebih fokus dan bimbingan kepada usahawan SME, selain memupuk persekitaran lebih kondusif terhadap dunia perniagaan dalam sistem pendidikan bermula di peringkat sekolah.
Dalam pada itu, siri syarahan ini memberi peluang kepada para CEO untuk berkongsi idea dan perkembangan terkini yang berlaku dalam dunia industri dengan warga kampus dan masyarakat di sekitarnya. Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1651