SIDANG KESEMBILAN KONVOKESYEN KE-63 USM: 702 GRADUAN HBP DAN SAINS KESIHATAN DIRAI, PRO-CANSELOR TEKANKAN PERANAN GRADUAN MEMBINA KEHIDUPAN LEBIH BAIK
USM PULAU PINANG, 29 November 2025 – Sidang Kesembilan, Upacara Konvokesyen Ke-63 Universiti Sains Malaysia (USM) berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) dengan penuh kesyukuran apabila seramai 702 graduan daripada Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (HBP) serta Pusat Pengajian Sains Kesihatan, termasuk Diploma Kejururawatan menerima skrol masing-masing.

Pro-Canselor USM, Tan Sri Datuk Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali, dalam ucapannya menegaskan bahawa kedua-dua bidang HBP dan sains kesihatan, meskipun berbeza disiplin, berkongsi matlamat yang sama iaitu membina kehidupan yang lebih baik untuk manusia dan masyarakat.

“Graduan HBP bukan sekadar mencipta bangunan, tetapi mereka membina ruang untuk kehidupan, merangka kota yang lestari, dan mencorak masa depan yang menghargai alam dan budaya.

“Sementara itu, graduan sains kesihatan dan jururawat ialah wajah sebenar kasih dan kemanusiaan. Di tangan mereka terletak sentuhan penyembuh, semangat juang, dan dedikasi yang tidak mengenal lelah,” ujar beliau.
Ahmad Tajuddin turut menekankan bahawa program-program kesihatan di USM seperti Audiologi, Dietetik, Patologi Pertuturan, Bioperubatan, Sains Forensik, dan Kejururawatan sentiasa menjadi rebutan majikan, malah ramai graduan telah menerima tawaran pekerjaan sebelum bergraduat.
Beliau menambah, sidang ini memperlihatkan kesepaduan antara ilmu kesihatan dan perancangan pembangunan yang berorientasikan kesejahteraan rakyat, selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 dan Belanjawan MADANI 2026.
“Kerajaan telah memperkukuh peranan USM melalui pembangunan Advanced Surgical Block di Hospital Pakar USM (HPUSM), Kubang Kerian.
“Ia bukan sekadar pelaburan infrastruktur, tetapi pengiktirafan terhadap kepakaran USM dalam bidang sains perubatan, kajihayat, penyelidikan klinikal, dan persekitaran binaan,” jelas beliau.
Mengakhiri ucapan, Ahmad Tajuddin menyeru para graduan agar terus membawa obor kecemerlangan di mana sahaja mereka berada.
“Kejayaan hari ini membuktikan bahawa usaha, doa, dan pengorbanan tidak pernah sia-sia. Jadikanlah ilmu dan pengalaman di USM sebagai panduan hidup.
“TAHNIAH dan SYABAS sekali lagi saya ucapkan kepada semua graduan. All the best in your future endeavours!” katanya.
Turut hadir dalam sidang ini ialah Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Ahli Lembaga Gabenor Universiti; Ahli-ahli Senat USM; serta pegawai-pegawai utama universiti.
Untuk Konvokesyen ke-63 USM yang sedang berlangsung dari 25 November hingga 2 Disember 2025, seramai 9,347 graduan menerima ijazah masing-masing dalam 14 sidang, termasuk seorang (1) penerima Ijazah Kehormat pada Sidang Pertama.
Turut menerima skrol ialah graduan Ijazah Tinggi (PhD - 865 dan Sarjana – 3,501), Ijazah Sarjana Muda (4,934), dan Diploma Kejururawatan (47).
Teks: Mazlan Hanafi Basharudin & Tan Ewe Hoe/Foto: MPRC
- Created on .
- Hits: 170