USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

766 GRADUAN KEJURUTERAAN TERIMA IJAZAH PADA SIDANG KEENAM DAN KETUJUH KONVOKESYEN KE-63 USM

USM PULAU PINANG, 28 November 2025 – Seramai 766 graduan Sarjana dan Sarjana Muda Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) menerima ijazah masing-masing pada Sidang Keenam dan Sidang Ketujuh Upacara Konvokesyen ke-63 yang berlangsung di sini, hari ini.

Jumlah itu melibatkan graduan daripada enam program kejuruteraan USM iaitu Kejuruteraan Aeroangkasa, Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Kejuruteraan Kimia, serta Kejuruteraan Mekanik.

Pengarah USM Kampus Kejuruteraan, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar, dalam ucapannya merakamkan tahniah kepada semua graduan dan turut menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa, pensyarah serta staf universiti yang telah menjadi tulang belakang kepada mereka selama ini.

Beliau turut menekankan kepada graduan akan kepentingan integriti, profesionalisme, dan etika dalam kerjaya sebagai jurutera, selain mengingatkan mereka untuk meneruskan amalan pembelajaran sepanjang hayat bagi memenuhi tuntutan perkembangan teknologi serta keperluan industri yang semakin mencabar.

Dalam pada itu, Mariatti juga menyeru graduan agar terus memainkan peranan aktif sebagai alumni selepas ini, termasuk menjalinkan rangkaian hubungan profesional, berkongsi kepakaran serta menyokong pelajar sedia ada melalui pelbagai inisiatif serta program universiti.

“Penglibatan alumni bukan sahaja dapat membantu pembangunan universiti, tetapi turut memberi dorongan kepada pelajar dalam meneruskan kecemerlangan akademik serta mempersiapkan laluan kerjaya mereka kelak,” katanya.

Beliau menutup ucapannya dengan mengingatkan graduan agar kekal sebagai jurutera yang berilmu dan bertanggungjawab, yang akan terus memberikan sumbangan bermakna kepada masyarakat, selaras dengan keperluan masa depan dalam bidang kejuruteraan itu sendiri.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 45

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025