SIDANG KESEMBILAN: USM PERKASA SEKTOR PERUMAHAN DAN PERANCANGAN DENGAN 298 GRADUAN BAHARU
USM, PULAU PINANG, 29 November 2025 – Seramai 298 graduan daripada Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan diraikan pada Sidang Kesembilan Majlis Konvokesyen Ke-63 Universiti Sains Malaysia yang menandakan tamatnya pengajian yang dipenuhi tugasan reka bentuk, projek penyelidikan dan pembelajaran praktikal dalam bidang perumahan, pembinaan serta perancangan.
Majlis penuh istiadat di Dewan Tuanku Syed Putra menyaksikan graduan Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan menerima ijazah Sarjana dan Sarjana Muda daripada Pro-Canselor, Tan Sri Datuk Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali selaku wakil rasmi penyampai anugerah akademik dengan penekanan terhadap kemahiran praktikal dan teori yang selari dengan keperluan industri pembinaan serta perancangan bandar.

Dekan Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan, Profesor Madya Sr. Ts. Dr. Md. Azree Othuman Mydin, menyebut nama seramai 298 graduan Sarjana dan Sarjana Muda daripada pelbagai program termasuk Sains, Seni Bina, Teknologi Bangunan, Pengurusan Projek, Perancangan Bandar dan Wilayah, Seni Bina Dalaman serta Ukur Bangunan sebagai penghargaan terhadap pencapaian akademik mereka.


Beberapa graduan turut menerima pengiktirafan istimewa termasuk pingat emas dan Hadiah Buku USM bagi menghargai kecemerlangan akademik serta penglibatan aktif dalam penyelidikan, inovasi dan program komuniti universiti termasuk Gan Shing Yen (Sarjana Senibina), William Tang Jun Lung (Sarjana Muda Sains Perumahan, Bangunan dan Perancangan Kepujian), Lai Chin Wei (Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Wilayah Kepujian), Chan Zi Ming (Sarjana Muda Sains Seni Bina Kepujian) dan Teshmeen Kaur A. P. Mahinder Singh (Sarjana Muda Sains Kepujian), manakala Mohd Hazimi Afif Fairus, Lau Tung Chii, Teh Lool Ying dan Ng Yong Pei menerima Hadiah Buku USM sebagai pengiktirafan tambahan.
Turut disampaikan dalam majlis ini ialah penghormatan secara anumerta kepada Nur’Aesha Syahirah Mohd Shahir, graduan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Bangunan dengan Kepujian yang telah kembali ke rahmatullah, dan bacaan Al Fatihah dipimpin bersama seluruh dewan sebagai mengenang pemergiannya.
Dengan berlangsungnya Sidang Kesembilan ini, USM sekali lagi menegaskan keupayaannya melahirkan graduan kompeten yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara serta kesejahteraan masyarakat.
Teks: Amna Nasuha Khotibsharbini, pelajar Pusat Pengajian Komunikasi/Foto: Click Crew @ MPRC
- Created on .
- Hits: 254