USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PRO-CANSELOR USM: GRADUAN KOMUNIKASI DAN SAINS KAJIHAYAT PEMACU WACANA KEMANUSIAAN DAN KELESTARIAN

USM PULAU PINANG, 29 November 2025 – Pagi ini berlangsungnya Sidang Kelapan, Upacara Konvokesyen Ke-63 Universiti Sains Malaysia (USM) yang dipengerusikan oleh Pro-Canselor USM, Tan Sri Datuk Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali.

WhatsApp Image 2025 11 29 at 18.30.35 1ed54c79

Beliau menyatakan rasa syukur dan merasa amat berbesar hati kerana dapat menyampaikan ijazah kepada para graduan yang berada di dalam dewan ini.

Beliau mengucapkan SYABAS dan TAHNIAH kepada 676 graduan dalam bidang Komunikasi dan Sains Kajihayat atas kejayaan mereka.

WhatsApp Image 2025 11 29 at 18.41.05 8e99f1f7

Kata Ahmad Tajuddin, “Bidang komunikasi dan sains kini berada di tengah perubahan global yang menuntut keseimbangan antara kemajuan teknologi dan nilai kemanusiaan.”

“Dalam dunia yang dikuasai kecerdasan buatan, komunikasi bukan lagi sekadar alat penyampaian maklumat, tetapi wahana untuk membina kefahaman, empati, dan kepercayaan sosial,” tambahnya.

WhatsApp Image 2025 11 29 at 18.38.08 266b263f

Kata beliau lagi, Laporan World Economic Forum 2024 menegaskan kemahiran komunikasi strategik, analisis media, dan kecekapan digital sebagai antara kemahiran paling penting menjelang tahun 2030.

USM melalui Pusat Pengajian Komunikasi telah mempelopori pendekatan ‘Humanising Communication’, memastikan teknologi digital digunakan untuk memperkasa masyarakat dan memperluas akses kepada ilmu, menurutnya.

“Pendekatan ini melahirkan graduan yang bukan sekadar pengamal media, tetapi penggerak wacana kemanusiaan dalam dunia digital yang kompleks,” tegas beliau.

WhatsApp Image 2025 11 29 at 18.35.30 d90c3232

Seterusnya kata Ahmad Tajuddin, “Dalam bidang Sains Kajihayat pula, fokus terhadap kelestarian dan kesihatan global semakin mendominasi landskap penyelidikan antarabangsa.”

“USM melalui Pusat Pengajian Sains Kajihayat menjadi antara peneraju dalam penyelidikan yang dijalankan bukan sahaja bertujuan memahami struktur kehidupan, tetapi juga mencari penyelesaian terhadap isu kesihatan, pemuliharaan alam, dan daya tahan ekosistem,” ujar beliau.

Inisiatif penyelidikan seperti Biodiversity Research Cluster dan Living Lab@USM memperkukuh kedudukan universiti sebagai pusat ilmu yang membawa kesepaduan sains dengan tanggungjawab sosial dan ekologi, kata Ahmad Tajuddin.

WhatsApp Image 2025 11 29 at 18.34.56 1aebd209

Tambahnya, kedua-dua bidang komunikasi dan sains hayat mencerminkan falsafah USM sebagai universiti berteraskan kelestarian dan inovasi kemanusiaan.

“USM terus menekankan pendekatan merentas disiplin melalui Sustainability Across Curriculum dan Education for Sustainable Development agar setiap graduan memahami bahawa ilmu, sama ada bersifat sosial atau saintifik, harus berakar kepada tanggungjawab terhadap manusia dan bumi,” kata beliau.

“Inilah keunikan USM, universiti yang menggabungkan sains dan kemanusiaan untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja mahir dan berpengetahuan, tetapi juga sedar bahawa kemajuan sejati bermula daripada nilai yang lestari,” ujar beliau lagi.

Beliau turut menjelaskan dalam era alam maya dan media sosial yang berkembang pesat, graduan komunikasi USM memainkan peranan penting dalam membina wacana yang beretika, berfakta, dan bertanggungjawab, selaras dengan semangat Malaysia MADANI yang menolak budaya fitnah dan salah maklumat.

“Pada bulan Julai yang lalu, Program Komunikasi USM telah disenaraikan antara yang terbaik dunia dalam EduRank 2025, yang menilai lebih 14,000 universiti dari 183 negara.

“Kejayaan ini membuktikan keunggulan USM bukan sahaja dalam sains dan teknologi, tetapi juga dalam sains sosial dan komunikasi yang membentuk wacana, nilai, dan tindakan masyarakat di peringkat nasional serta global. TAHNIAH USM!” kata Ahmad Tajuddin.

Tambah beliau, graduan Sains Kajihayat pula menyumbang kepada kefahaman terhadap kesejahteraan manusia dan alam sekitar melalui penyelidikan berimpak tinggi yang memberikan manfaat langsung kepada manusia dan alam.

“Ilmu kajihayat hari ini tidak lagi terbatas kepada pemerhatian dan teori semata-mata, tetapi telah berkembang kepada pelbagai cabang bioteknologi kesihatan, biologi pertanian, bioinformatik, biopemuliharaan, dan bioindustri hijau,” katanya lagi.

Ahmad Tajuddin seterusnya berpesan, “Setelah sekian lama menanti, akhirnya anda berjaya menjejakkan kaki ke pentas ini. Namun jangan lupa, kejayaan ini juga milik ibu bapa, keluarga, dan para pensyarah yang tidak pernah berhenti memberikan dorongan dan bimbingan kepada anda buat sekian lama ini.”

“Jadikanlah ilmu dan pengalaman yang anda peroleh di USM sebagai panduan hidup. Bawalah nama universiti ini dengan penuh kebanggaan dan tanggungjawab,” beliau memberi ingatan.

Sebelum mengakhiri ucapannya, beliau meminta kesemua graduan yang berada di dalam Dewan untuk bangun dan menoleh ke belakang, ke arah ahli keluarga masing-masing yang turut hadir pada hari ini.

“Lihatlah sendiri betapa bangganya ibu dan ayah, suami dan isteri serta anak-anak di atas kejayaan saudara saudari. Berikan lambaian dan tepukan gemuruh kepada mereka semua atas segala pengorbanan dan kasih sayang yang diberikan oleh mereka selama ini,” katanya kepada para graduan.

Sekali lagi, TAHNIAH kepada semua graduan dan moga masa depan anda semua terus diiringi kejayaan, katanya di akhir ucapan.

Turut hadir dalam Sidang Kelapan ini adalah Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Ahli Lembaga Gabenor Universiti, Ahli-ahli Senat USM; dan pegawai-pegawai utama Universiti.

Graduan pada sidang ini adalah sebahagian daripada 9,347 graduan yang menerima skrol ijazah tinggi, sarjana muda, dan diploma pada Konvokesyen ke-63 USM yang sedang berlangsung selama seminggu dari 25 November 2025 hingga 2 Disember 2025.

Teks: Mazlan Hanafi Basharudin & Tan Ewe Hoe/Foto: MPRC

  • Created on .
  • Hits: 148

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025