SIDANG KELAPAN KONVOKESYEN KE-63 USM SERLAHKAN KEUNGGULAN GRADUAN KOMUNIKASI DAN SAINS KAJIHAYAT

USM, PULAU PINANG, 29 November 2025 – Sidang Kelapan Upacara Konvokesyen Universiti Sains Malaysia Ke-63 yang diisytiharkan pada pukul sembilan pagi di Dewan Tuanku Syed Putra melibatkan 676 graduan daripada dua pusat pengajian.
Pro-Canselor USM, Tan Sri Datuk Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali, turut hadir bagi menganugerahkan ijazah kepada para graduan dari kampus induk.

Upacara ini menyaksikan penganugerahan ijazah kepada graduan sarjana dan sarjana muda daripada Pusat Pengajian Komunikasi serta Pusat Pengajian Sains Kajihayat.


Sidang kelapan ini menjadi simbol pengiktirafan terhadap usaha, ketekunan dan kecemerlangan para graduan dalam menamatkan pengajian mereka.
Penerima Pingat Emas bagi sidang ini termasuk Sumayya Fauzi dari bidang Kewartawanan, Muhammad Nazmi Hakimi Mohd Eirman dari bidang Komunikasi Pemujukan, Muhammad Faris Aiman Mas Fadilah dari bidang Mikrobiologi dan Lee Xiao Hui dari bidang Biologi Persekitaran.
Hadiah Buku Universiti Sains Malaysia turut dianugerahkan kepada tiga graduan iaitu Zulhilmi Rusli dari bidang Komunikasi Digital, Toby Heah Ke Tian dari bidang Komunikasi Pemujukan dan Wong Suet Ying dari bidang Komunikasi Digital.
Dalam ucapan penutupannya, Pro-Canselor USM menyatakan bahawa bidang komunikasi dan sains berada di tengah arus perubahan global yang menuntut keseimbangan antara kemajuan teknologi dan nilai kemanusiaan.

“Komunikasi bukan sekadar alat penyampai maklumat, tetapi wahana untuk membina kefahaman, empati dan kepercayaan sosial”, ujar beliau.
“Dalam bidang sains kaji hayat pula, fokus terhadap kelestarian dan kesihatan global semakin mendominasi landskap penyelidikan antarabangsa”, tambah beliau.
Dengan berlangsungnya Sidang Kelapan ini, jelaslah komitmen berterusan Universiti Sains Malaysia dalam melahirkan graduan mahir dalam bidang komunikasi dan penyelidikan bukan sahaja di peringkat kebangsaan malah ke persada global.
Teks: Dharminy Dorairam, pelajar Pusat Pengajian Komunikasi/Foto: Click Crew @ MPRC
- Created on .
- Hits: 212