PENSYARAH USM TERPILIH TERIMA BIASISWA L’OREAL
PULAU PINANG, 27 Sept. 2013 - Pensyarah dari Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh(PPPJJ), Dr. Chuah Lee Siang terpilih memenangi L’Oreal Malaysia ‘For Women in Science’ Fellowship untuk tahun 2013.
Kejayaan tersebut diumumkan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Pengurus Komunikasi Korporat L’Oreal Malaysia, Jean Loh. Pendidik tersebut terpilih berdasarkan kecemerlangan beliau dalam dunia pendidikan dan penyelidikan.
Chuah Lee Siang, 32, pensyarah bidang Fizik di PPPJJ menjadi salah seorang daripada tiga penerima yang berjaya mendahului senarai 68 calon pemohon, sekaligus bakal menerima biasiswa berjumlah RM20,000 untuk pembiayaan penyelidikan yang dijalankan.
L’Oreal Malaysia ‘For Women in Science’ Fellowship diwujudkan bagi memberi sokongan dan galakan kepada penyelidik wanita untuk terus berdaya saing dan menyumbangkan kepakaran mereka dalam membangunkan kajian penting untuk masa depan negara.
Lee Siang ketika dihubungi berkata, belaiu terharu dengan kejayaan tersebut dan menyifatkan ia sebagai satu motivasi dan penyuntik semangat untuknya terus berbakti dan menyumbang kepada pembangunan pendidikan di negara ini.
``Ini adalah antara pencapaian terbaik saya setelah mula bergelar pensyarah di USM,’’ ujarnya yang mula bertugas di PPPJJ pada 15 Disember 2009. Beliau juga adalah alumni USM dari Pusat Pengajian Sains Fizik (Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Doktor Falsafah).
Majlis penganugerahan biasiswa tersebut akan diadakan di Le Meridien Kuala Lumpur November depan. Teks: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 1610