USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KEUNGGULAN BAKAT DAN PENYELIDIKAN ONKOLOGI DI IPPT USM

USM PULAU PINANG, 26 November 2025 – Hari ini, ketika Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) meraikan kejayaan para graduannya, kita juga menyaksikan satu pencapaian penting dalam landskap penyelidikan kesihatan negara.

Berdasarkan data dan hasil penyelidikan para graduan, institusi ini kini berada pada landasan kukuh sebagai peneraju dalam bidang onkologi dan penyelidikan berkaitan kanser.

Pada tahun ini, sejumlah besar graduan telah menghasilkan penyelidikan yang berkaitan secara langsung dengan kanser meliputi genomik kanser, radioterapi, onkologi molekul, farmakologi anti-kanser, serta penemuan penanda biologi baharu.

Kajian mereka merangkumi topik-topik seperti mekanisme miRNA dalam leukemia dan kanser payudara, pembangunan kaedah dosimetri untuk radioterapi, penemuan sasaran terapi baharu dalam kanser kolorektal, dan analisis ekspresi gen dalam sel kanser hati.

Selain kumpulan ini, terdapat juga graduan dari pelbagai bidang berkaitan seperti bioinformatik, biologi molekul dan sel, kejuruteraan bioperubatan, imunologi, dan perlindungan radiasi.

Walaupun tidak berlabel secara langsung sebagai “onkologi”, kepakaran yang dibawa oleh mereka adalah komponen penting dalam pembangunan penyelesaian perubatan moden yang mengukuhkan ekosistem onkologi.

Jika digabungkan, kita mempunyai lebih 30 graduan yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran khusus yang menyokong pembangunan inovasi dalam bidang kanser.

Ini termasuk keupayaan untuk mengendalikan analisis genomik termaju, membangunkan bahan terapeutik baharu, menghasilkan model komputasi bagi rawatan kanser, serta menambah baik teknologi radioterapi secara klinikal.

Kehadiran bakat-bakat ini bukan sahaja membuktikan kekuatan akademik institut, tetapi juga menunjukkan komitmen kita untuk menyumbang kepada reformasi sistem kesihatan negara, khususnya dalam memerangi penyakit kanser yang terus meningkat.

Sebagai institusi pendidikan dan penyelidikan, kami percaya bahawa kejayaan para graduan ini akan menjadi pemangkin kepada kerjasama baru termasuk dengan industri, agensi kerajaan, dan pelabur strategik untuk mempercepatkan pembangunan penyelesaian kesihatan inovatif yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat.

Akhir kata, tahniah kepada semua graduan. Anda bukan sahaja membawa kejayaan peribadi, tetapi juga harapan baharu untuk masa depan penyelidikan kanser di peringkat nasional dan global.

Teks: Pejabat Pengarah IPPT, USM

  • Created on .
  • Hits: 162

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025