USM LAHIRKAN MEJAR ATM BERIJAZAH KEJURUTERAAN, SERLAHKAN KEPIMPINAN DAN KEPAKARAN PERTAHANAN NEGARA

USM, PULAU PINANG, 28 November 2025 – Seorang Pegawai Tentera Darat Malaysia berpangkat Mejar meraikan kecemerlangan pada Sidang Keenam Upacara Konvokesyen Ke-63 USM apabila menerima Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Pembuatan dengan Pengurusan dengan Kepujian daripada Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik, sekali gus menyerlahkan peranan USM sebagai institusi berdaya saing dalam melahirkan graduan berjiwa kepimpinan selaras dengan motto ‘Kami Memimpin’.
Mejar Hazizur Rahim, 40, berasal dari Johor, berkata bahawa sebelum menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM), beliau terlebih dahulu menamatkan pengajian dalam bidang Pembuatan Mekanikal di Politeknik Seberang Perai sebelum meneruskan kerjaya ketenteraan yang bermula dengan pangkat Leftenan Muda, selaras dengan ketetapan lantikan ketika itu bagi lulusan diploma dan ijazah.

“Selepas 13 tahun dalam perkhidmatan, saya baru mendapat peluang untuk menyambungkan pengajian pada peringkat ijazah sarjana muda dan selepas 4 tahun pengajian saya kini bergelar graduan USM”, ujar beliau.

Mejar Hazizur turut berkongsi cabaran sepanjang pengajian termasuk perbezaan umur, perubahan gaya hidup ketika bergaul dengan generasi lebih muda dan keperluan menyesuaikan diri dengan persekitaran pembelajaran baharu setelah lebih sedekad meninggalkan zaman pengajian formal.
Mejar Hazizur menyatakan bahawa ilmu yang diperoleh dalam bidang tersebut akan diterapkan dalam kejuruteraan ATM selaras dengan rejimen beliau, iaitu KOR Jurutera Elektrik dan Jentera Diraja (KJLJD) yang berpangkalan di 42 Woksyop Artileri, Kem Terendak, Melaka.
“Saya berharap dengan pencapaian saya ini dapat menyuntik semangat anak muda dan juga anggota tentera lain untuk melanjutkkan pengajian ke peringkat lebih tinggi kerana ilmu yang bermanfaat mampu melahirkan generasi produktif serta bermanfaat untuk negara”, jelas beliau.
Teks: Muhammad Abid Naqiuddin Mohd Zaki/Foto: Click Crew @ MPRC
- Created on .
- Hits: 144