USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KUMPULAN SENTUHAN QALBU USM DILANCAR

021013-1

PULAU PINANG, 3 Oktober 2013 – Sentuhan Qalbu, satu kumpulan baharu yang terdiri dari sukarelawan dalam kalangan staf dan pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) secara rasminya dilancar dalam satu majlis khas di sini semalam.

Objektif utama kumpulan yang ditubuhkan sebagai antara projek komuniti universiti itu adalah untuk menghulurkan bantuan kepada pesakit-pesakit kronik dan penjaganya mengharungi situasi sukar dalam kehidupan seharian mereka.

Timbalan Naib Canselor Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), Profesor Dato’  Dr. See Ching Mey berkata, kumpulan Sentuhan Qalbu turut menjadi agen perubahan universiti dalam menyokong pembangunan masyarakat di luar kampus.

021013-2

Katanya, selaras dengan hasrat universiti yang memimpin kelestarian, penubuhan kumpulan ini disifatkan sebagai antara langkah tepat untuk mendidik warga kampus mengetahui ancaman penyakit kronik terhadap kesejahteraan hidup masyarakat.

``Ia juga membantu mereka untuk memberi sokongan moral dan emosi kepada pesakit dan ahli keluarganya, selain turut memindahkan pengetahun terhadap cara-cara penjagaan pesakit kronik,’’ ujarnya ketika menyempurnakan majlis pelancaran kumpulan tersebut.

Turut hadir ialah isteri Naib Canselor, Datin Noraizan Jamaludin, Ketua Projek Kumpulan Sentuhan Qalbu, Datin Dr. Aishah Knight, Pengarah Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-Ubatan, Prof. Dr. Sharif Mahsufi Mansor dan sebagainya.

031013-3

Tambah beliau, Universiti turut berharap kumpulan Sentuhan Qalbu turut dapat memainkan peranan proaktif bagi mempromosikan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan warganya, selain menjayakan aktiviti-aktiviti yang dapat mensejahterakan kehidupan masyarakat.

Pelancaran kumpulan itu dibuat bersesuaian dengan bulan Oktober sebagai bulan yang digazetkan sebagai bulan Kempen Kesedaran Kanser Payudara, yang juga menjadi antara penyakit kronik yang digeruni di seluruh dunia.

Turut dimuatkan dalam majlis tersebut adalah pameran koc bergerak Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) USM, pemeriksaan kesihatan, pameran pencegahan awal kanser, persembahan kumpulan jazz band dan sebagainya. Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: Mohd Fairus Md Isa

 

  • Created on .
  • Hits: 1108

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024