USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SIDANG KETUJUH KONVOKESYEN KE-63 USM SERLAH KECEMERLANGAN GRADUAN KEJURUTERAAN, SENI DAN SAINS KIMIA

 WhatsApp Image 2025 11 28 at 19.11.48 1

USM, PULAU PINANG, 28 November 2025 – Sidang Ketujuh Upacara Konvokesyen Ke-63 Universiti Sains Malaysia (USM) berlangsung dengan penuh meriah di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), melibatkan graduan dari bidang kejuruteraan serta pusat pengajian di Kampus Induk dan Kampus Kejuruteraan USM.

WhatsApp Image 2025 11 28 at 17.53.06

Dalam sidang ini, seramai 667 graduan daripada Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Pusat Pengajian Seni serta Pusat Pengajian Sains Kimia dianugerahkan ijazah sarjana oleh Pro-Canselor USM, Tan Sri Datuk Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali.

 

WhatsApp Image 2025 11 28 at 17.53.07

Majlis ini turut menyaksikan penganugerahan kepada Penerima Pingat Emas USM dan Hadiah Buku USM bagi sidang ini, termasuk Teoh Ao (Kejuruteraan Bahan), Nurul Afikah Aliyas (Kejuruteraan Sumber Mineral), Oon Ye Sheng (Kejuruteraan Polimer), Nur Athirah Amran (Sastera Seni Halus) dan Long Pui Man (Sains Kimia), serta beberapa penerima lain yang menonjolkan kecemerlangan dalam bidang masing-masing.

WhatsApp Image 2025 11 28 at 19.11.48 WhatsApp Image 2025 11 28 at 19.11.47

Pro-Canselor USM, Tan Sri Datuk Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali berkata bahawa sidang ini mencerminkan keunikan ekosistem ilmu USM yang merentasi bidang makmal aeroangkasa sehinggalah ke studio kreatif, sekali gus menunjukkan keluasan kepakaran dimiliki universiti.

Beliau turut menegaskan bahawa setiap graduan membawa nilai inovasi dan kepakaran tersendiri dalam menyumbang kepada pembangunan negara berteknologi tinggi.

Majlis turut menyaksikan detik penghargaan apabila para graduan diminta berdiri dan menoleh ke arah ibu bapa masing-masing sebagai tanda menyampaikan rasa bangga serta penghargaan keluarga terhadap kejayaan mereka.

WhatsApp Image 2025 11 28 at 17.53.05

Dengan berlangsungnya Sidang Ketujuh ini, USM sekali lagi memperlihatkan komitmen jitu dalam melahirkan tenaga pakar yang memenuhi keperluan industri dan pembangunan negara, khususnya dalam bidang kejuruteraan, sekali gus mencerminkan peranan USM sebagai institusi ilmu yang terus memperkukuh agenda kecemerlangan akademik.

Teks: Nur Amirah Harun, Pelajar Pusat Pengajian Komunikasi/Foto: Click Crew & MPRC

  • Created on .
  • Hits: 61

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025