USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KEJAYAAN GRADUAN USM MERENTAS BIDANG SAINS, TEKNOLOGI, DAN SENI KE ARAH MEMBINA HARAPAN BANGSA

USM PULAU PINANG, 28 November 2025 – Sidang Ketujuh, Upacara Konvokesyen Ke-63 Universiti Sains Malaysia (USM) diteruskan pada petang ini, dipengerusikan oleh Pro-Canselor, Tan Sri Datuk Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali.

WhatsApp Image 2025 11 28 at 18.41.44 e5d5065e

Beliau mengucapkan setinggi-tinggi TAHNIAH dan SYABAS kepada sejumlah 667 graduan Ijazah Sarjana dan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan Aeroangkasa, Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Seni, dan Sains Kimia yang telah berjaya menamatkan pengajian.

WhatsApp Image 2025 11 28 at 18.41.44 0684864c

Kata Ahmad Tajuddin, sidang ini mencerminkan keunikan ekosistem ilmu di USM yang merentasi bidang sains, teknologi, dan seni.

“Dari makmal aeroangkasa hingga ke studio kreatif, setiap graduan membawa nilai inovasi dan kepakaran tersendiri dalam menyumbang kepada pembangunan negara berteknologi tinggi,” ujarnya.  

Tambah beliau, para graduan Kejuruteraan Aeroangkasa, Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, dan Sains Kimia berada di tengah-tengah transformasi industri global yang kini dipacu automasi, teknologi hijau, kecerdasan buatan, dan ekonomi digital.

WhatsApp Image 2025 11 28 at 18.41.44 fe5395af

“Malaysia sendiri sedang bergerak menjadi negara berteknologi tinggi menjelang 2030, dengan sektor elektrik & elektronik dan semikonduktor menjadi pemacu ekonomi bernilai tinggi.

“Dalam perubahan transformasi ini, graduan USM merupakan barisan baharu yang bukan sahaja merupakan tenaga teknikal, tetapi sebagai inovator yang memimpin perubahan,” menurut Ahmad Tajuddin.

WhatsApp Image 2025 11 28 at 18.41.44 39473a80

“Sementara itu, graduan Pusat Pengajian Seni, atau lebih dikenali sebagai SOTA melengkapkan ekosistem ini dengan daya kreatif menerajui kemajuan.

“SOTA bukan hanya menawarkan program seni konvensional tetapi merupakan ruang pembelajaran di mana imaginasi, teknologi, dan kemanusiaan bertemu.

“Dari komunikasi grafik, reka bentuk digital, produk, seni halus, muzik hingga teater, setiap bidang melahirkan pengkarya yang mempengaruhi masyarakat, membentuk budaya, dan mencipta empati dalam dunia yang semakin dipacu automasi. Graduan seni ialah pengukir wajah bangsa, kerana di mana ada seni, di situ terbinanya tamadun,” jelas Ahmad Tajuddin.

Menurut Ahmad Tajuddin juga, kekuatan universiti dipacu oleh kerjasama strategik antara universiti dengan rakan industri.

WhatsApp Image 2025 11 28 at 18.41.44 69793352

“Melalui perkongsian kepakaran, latihan dua hala, pembangunan kurikulum bersama, serta pendedahan awal kepada automasi, reka bentuk cip, kecerdasan buatan, dan sistem lestari, pelajar USM menikmati pengalaman pembelajaran yang benar-benar berpaksikan realiti industri sebenar,” tambahnya.

Beliau berkata, kecemerlangan para pelajar dan penyelidik USM terus terserlah melalui pelbagai kejayaan di dalam dan luar negara, yang menggabungkan kreativiti, kemahiran teknikal, dan semangat berpasukan.

“Ini membuktikan bahawa ilmu dan inovasi yang dipupuk di USM tidak hanya berorientasikan teknologi, tetapi disulam dengan tanggungjawab sosial dan kemanusiaan.”

Seterusnya jelas beliau, Universiti ini melahirkan graduan yang seimbang antara kepakaran profesional dan kepekaan terhadap cabaran masyarakat serta kelestarian alam sekitar.

“Dalam kerangka Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (2025-2035) dan agenda TVET, graduan dalam bidang kejuruteraan dan sains kimia memperkukuh daya saing industri strategik negara, manakala graduan seni pula memperkaya dimensi budaya, kreativiti, dan reka bentuk; kesemuanya komponen penting dalam ekonomi digital dan kreatif masa depan.

“Gabungan ini menyerlahkan keunikan USM sebagai Universiti APEX yang menghubungkan sains dengan kemanusiaan,” Ahmad Tajuddin menegaskan.

Kejayaan para graduan ini membuktikan bahawa kemajuan sebenar hanya bermakna apabila disertai nilai, empati, dan kemampanan sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI.

“Nikmatilah detik ini dengan penuh kesyukuran,” pesan beliau.

“Juga jangan dilupa, di sebalik setiap kejayaan anda, ada air mata, pengorbanan, dan doa mereka yang menyayangi anda tanpa syarat,” pesannya lagi.

“Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada seluruh warga universiti yang sentiasa komited dalam mendidik generasi masa depan,” tambahnya.

Sebelum mengakhiri ucapannya, Ahmad Tajuddin meminta kesemua graduan yang berada di dalam Dewan untuk bangun dan menoleh ke belakang, dan lihat betapa bangganya ibu dan ayah, suami dan isteri serta anak-anak melihat kejayaan graduan, sambil memberikan lambaian dan tepukan gemuruh kepada mereka, atas segala sokongan dan pengorbanan mereka sepanjang tempoh para graduan berusaha mencapai kejayaan.

Akhir kata, Ahmad Tajuddin memberi ingatan kepada para graduan sekalian, semoga kesemuanya akan menjadi penyebar ilmu, pembawa inspirasi, dan pembina harapan bangsa.

WhatsApp Image 2025 11 28 at 18.41.44 7b0cafb8

Turut hadir dalam Sidang Ketujuh ini adalah Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Ahli Lembaga Gabenor Universiti; Ahli-ahli Senat USM; dan pegawai-pegawai utama Universiti.

Konvokesyen ke-63 Universiti Sains Malaysia ini sedang berlangsung, bermula dari 25 November hingga 2 Disember 2025 di kampus induk USM.

Teks: Mazlan Hanafi Basharudin & Tan Ewe Hoe/Foto: MPRC

  • Created on .
  • Hits: 56

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025