GRADUAN KEJURUTERAAN USM DIPERSIAPKAN UNTUK MEMACU TRANSFORMASI MAMPAN NEGARA
USM PULAU PINANG, 28 November 2025 – Sidang Keenam, Upacara Konvokesyen Ke-63 Universiti Sains Malaysia (USM) diteruskan hari ini dengan penuh meriah, dipengerusikan oleh Pro-Canselor, Tan Sri Datuk Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali.

Dalam ucapannya, beliau melahirkan rasa syukur dan kegembiraan kerana berpeluang menyampaikan ijazah sarjana dan sarjana muda kepada para graduan yang hadir pada pagi ini.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada seramai 618 graduan dalam bidang Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Kejuruteraan Kimia serta Kejuruteraan Mekanik yang menerima ijazah masing-masing.

Graduan Holistik dan Berimpak Tinggi
Ahmad Tajuddin menegaskan bahawa graduan USM dibentuk melalui pengalaman pembelajaran yang holistik, merangkumi penguasaan teori dan kemahiran teknikal, selain pendedahan kepada program pembangunan, pertandingan inovasi dan projek kolaboratif.
Semua pengalaman ini, katanya, melatih graduan dengan daya tahan, kepimpinan serta pemikiran strategik yang amat diperlukan dalam era teknologi hijau dan transformasi digital.
“Keunikan graduan USM bukan sahaja pada kecemerlangan akademik, tetapi juga kematangan nilai, empati, dan tanggungjawab sosial,” ujarnya.

Kerjasama Strategik dengan Industri
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama dengan pihak industri yang memberi peluang kepada pelajar menjalani latihan industri, melaksanakan projek tahun akhir bersama industri serta mengikuti program pensijilan profesional.
USM juga menerajui Inkubator Penyelidikan dan Serap-Industri (MRI3) di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), dengan peranan sebagai ketua Konsortium Elektrik dan Elektronik yang melibatkan 19 universiti awam.

Memperkukuh Kemahiran Masa Hadapan
Menurut Ahmad Tajuddin, universiti berusaha memastikan setiap graduan memiliki kelebihan kompetitif dan keupayaan memimpin perubahan dalam bidang masing-masing.
Harapan universiti, katanya, agar ilmu dan kemahiran yang diperoleh dapat diterjemahkan kepada tindakan yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.
Beliau turut menekankan bahawa graduan USM harus menjadi peneraju dalam menjadikan sains dan teknologi sebagai wahana kemajuan yang lestari, berpaksikan kemanusiaan serta memberi makna kepada pembangunan sejagat.

Universiti dalam Industri
Antara usaha kolaborasi strategik USM dengan industri ialah penubuhan Centre of Innovation and Automation Lab (CiA Lab) di fasiliti Sandisk, Batu Kawan, Pulau Pinang.
Sebagai antara “University in Industry” pertama di Malaysia, ia membuka ruang baharu kepada pelajar untuk mengaplikasikan kecerdasan buatan, automasi, dan teknologi hijau secara langsung dalam persekitaran industri sebenar.
“USM bukan sekadar melahirkan jurutera untuk dunia pekerjaan, tetapi membina pemimpin teknologi yang memahami manusia, menghargai bumi, dan memacu masa depan yang mampan,” tegas beliau.

Sokongan Agenda TVET dan Pembangunan Negara
Selaras dengan Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2025–2035, bidang kejuruteraan di USM terus memperkukuh agenda TVET melalui penyelidikan terapan, inovasi teknologi, dan latihan industri berasaskan keperluan pasaran kerja.
“Usaha ini bukan sahaja melahirkan tenaga mahir tempatan, tetapi juga membantu mengurangkan jurang kekurangan jurutera dalam negara.
“Graduan kejuruteraan USM dilatih bukan sekadar memenuhi permintaan industri, tetapi untuk menjadi peneraju teknologi dan penyelesai masalah yang mampu memacu pembangunan negara ke arah ekonomi berteknologi tinggi,” tambahnya.

Pesanan kepada Graduan
Beliau turut mengingatkan bahawa kejayaan graduan adalah hasil usaha bersama melibatkan graduan sendiri, ibu bapa, keluarga serta seluruh warga USM.
“Teruslah melangkah ke hadapan dengan tekad untuk menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan kemajuan negara. Semoga anda semua terus berjaya,” katanya mengakhiri ucapan.

Hadir bersama dalam Sidang Keenam ini ialah Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, ahli Lembaga Gabenor Universiti, ahli-ahli Senat USM serta pegawai-pegawai utama universiti.
Konvokesyen Ke-63 USM berlangsung dari 25 November hingga 2 Disember 2025, meraikan kejayaan seramai 9,347 graduan dari pelbagai bidang pengajian.
Teks: Mazlan Hanafi Basharudin & Tan Ewe Hoe/Foto: MPRC
- Created on .
- Hits: 130