SIDANG KEENAM KONVOKESYEN KE-63 USM LAHIRKAN GRADUAN KEJURUTERAAN PELBAGAI BIDANG

USM, PULAU PINANG, 28 November 2025 – Pro-Canselor Universiti Sains Malaysia, Tan Sri Datuk Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali, merasmikan pembukaan Sidang Keenam Upacara Konvokesyen Ke-63 pada jam 9.00 pagi, menandakan permulaan sesi yang seterusnya dalam rangkaian istiadat berprestij ini serta menghimpunkan para graduan sarjana dan sarjana muda yang memenuhi Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) bagi menerima pengiktirafan akademik masing-masing.


Seramai 618 graduan daripada empat pusat pengajian di Kampus Kejuruteraan menerima ijazah masing-masing, dengan Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik mencatat jumlah tertinggi seramai 241 graduan merangkumi bidang elektronik, elektrik dan mekatronik, diikuti Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia yang melahirkan 87 graduan, serta Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik yang menghasilkan 144 graduan merangkumi program mekanik dan pembuatan, sekaligus menjadikan sidang ini antara penyumbang utama kepada kekuatan USM dalam bidang kejuruteraan.

Penerima pingat emas bagi sidang ini termasuk Phang Jia Xin (Kejuruteraan Elektronik), Clifford Tsen Zi Jie (Kejuruteraan Mekatronik), Francis Lau (Kejuruteraan Kimia), Leong Jing Xiang (Kejuruteraan Mekanik), Tean Wilson (Kejuruteraan Elektrik) serta beberapa penerima lain yang menonjol dalam pencapaian akademik dan projek kejuruteraan masing-masing.
Dalam ucapan perasmian, Pro-Canselor mengucapkan kesyukuran dapat bersama-sama menghadiri Sidang Keenam sambil menekankan kepentingan disiplin kejuruteraan dalam memacu agenda teknologi hijau serta transformasi digital negara.


Beliau turut menegaskan bahawa graduan kejuruteraan USM dibentuk melalui pengalaman pengajaran yang holistik dan berimpak tinggi, “mereka bukan sahaja menguasai teori dan kemahiran teknikal, tetapi turut diasah melalui pelbagai program pembangunan, pertandingan inovasi dan projek kolaboratif yang menuntut daya tahan, kepimpinan serta pemikiran strategik,” ujar beliau.
Sidang Keenam Upacara Konvokesyen Ke-63 ini sekali lagi menzahirkan komitmen USM dalam melahirkan graduan kejuruteraan yang bersedia memacu pembangunan negara melalui kepakaran merentas pelbagai disiplin teknikal.
Teks: Sara Hannah Sahan Shah/Foto: Click Crew & MPRC
- Created on .
- Hits: 89