GRADUAN USM ADALAH ASET PENTING NEGARA – TAN SRI ZULKEFLI
USM PULAU PINANG, 27 November 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini meraikan seramai 704 graduan dalam bidang Sains Perubatan dan Sains Fizik pada Sidang Keempat, Upacara Konvokesyen Ke-63 yang berlangsung dengan penuh gilang-gemilang di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), Kampus Induk.
Sidang Keempat ini dipengerusikan oleh Pro-Canselor USM, Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan.
Beliau dalam ucapannya menyampaikan tahniah dan syabas kepada semua graduan atas kejayaan menamatkan pengajian masing-masing.
Zulkefli menekankan bahawa graduan perubatan telah melalui perjalanan lima tahun yang menuntut ketabahan, empati dan dedikasi, sama ada di Kampus Kesihatan USM atau program perubatan pesisir antarabangsa USM-KLE di Belgaum, India.
Menurut beliau, kurikulum perubatan USM kini mengintegrasikan teknologi moden seperti latihan ultrasound serta aplikasi Realiti Maya dan Terimbuh (Virtual dan Augmented Reality).
Katanya, latihan klinikal di Hospital Pakar USM pula membentuk sahsiah pelajar sebagai Compassionate Professional berteraskan nilai H.E.B.A.T USM.
Sidang kali ini turut mencatat sejarah apabila seorang graduan perubatan berusia 57 tahun diraikan sebagai antara graduan paling senior di Malaysia, sekali gus mencerminkan sifat inklusif pendidikan di USM.
Dalam bidang fizik, Zulkefli menyatakan bahawa graduan dilahirkan sebagai pemikir yang meneroka rahsia alam dan tenaga, dari zarah halus hingga galaksi yang jauh, sekali gus memperkukuh teknologi, perubatan, dan kehidupan seharian manusia.
Beliau menambah, keupayaan penyelidikan dan aplikasi teknologi dalam kedua-dua bidang ini menjadi nadi penggerak inovasi nasional selaras dengan kerangka Pelan Pendidikan Tinggi dan aspirasi Malaysia MADANI.
“Dalam pasaran buruh yang semakin mencabar, keupayaan anda menterjemah ilmu kepada penyelesaian praktikal menjadikan anda aset penting negara,” ujar beliau sambil mengingatkan bahawa nilai sebenar seorang insan berilmu terletak pada makna khidmatnya kepada masyarakat.
Zulkefli menyeru para graduan agar memikul amanah dengan penuh keikhlasan dan menjadikan profesion bukan sekadar pekerjaan, tetapi sebagai bentuk khidmat bakti yang memberi makna kepada kehidupan orang lain.
Beliau turut mengajak graduan mengenang jasa ibu bapa, keluarga, pensyarah, dan warga kerja USM yang menjadi tulang belakang kejayaan mereka.
Sidang ditutup dengan simbolik tepukan gemuruh graduan kepada insan tersayang yang hadir.
Turut hadir ialah Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, Ahli-ahli Senat serta pegawai-pegawai utama universiti.
Untuk Konvokesyen ke-63 USM yang sedang berlangsung, seramai 9,347 graduan akan menerima ijazah masing-masing dalam 14 sidang, termasuk seorang (1) penerima Ijazah Kehormat. Turut menerima skrol ialah graduan Ijazah Tinggi (PhD - 865 dan Sarjana – 3,501), Ijazah Sarjana Muda (4,934) serta Diploma Kejururawatan (47).
Teks: Mazlan Hanafi Basharudin & Tan Ewe Hoe/Foto: MPRC
- Created on .
- Hits: 47