USM RAIH KEMENANGAN BERGANDA DI ICSL2025: SULAM INNOVATE KE-3

KUALA TERENGGANU, 26 November 2025 – USM meraih kemenangan berganda apabila dua kumpulan finalisnya dinobatkan sebagai Juara dan Naib Juara bagi Kategori Sains dan Teknologi (2025) serta Sains Sosial (2024) dalam Pertandingan SULAM Innovate Ke-3 sempena 3rd International Conference on SULAM 2025: Shaping Future with Service-Learning (ICSL2025) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu, sekali gus mengukuhkan reputasi universiti sebagai peneraju pembelajaran berimpak komuniti.

SULAM atau Service Learning Malaysia–University for Society merupakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran berasaskan komuniti yang diperkenalkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), yang bertujuan menyepadukan pengalaman lapangan secara berstruktur dalam kursus akademik bagi meningkatkan kompetensi serta impak sosial pelajar.
Seramai lebih 30 peserta dari ketiga-tiga kampus USM yang terdiri daripada pelajar dan pensyarah telah menyertai ICSL2025 melalui penyertaan fizikal dan atas talian, merangkumi sesi pitching SULAM Innovate serta pembentangan dalam sidang selari sepanjang persidangan tersebut.

Projek “Modul Penjagaan Gigi Si Cilik: Misi Senyuman Menawan”, yang dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan Kuala Sungai, Gua Musang, Kelantan oleh pelajar Program Doktor Pergigian dari Pusat Pengajian Sains Pergigian, USM Kampus Kesihatan, dinobatkan sebagai Juara bagi Kategori Sains dan Teknologi (Sesi 2025), berikutan nilai tambah dan impaknya dalam meningkatkan literasi penjagaan gigi murid sekolah rendah.

Pasukan pelajar dari Pusat Pengajian Sains Perubatan USM pula meraih Naib Johan bagi Kategori Sains Sosial (Sesi 2024) melalui projek “Darah Comey Hidup Molek : Enhancing Knowledge, Attitude, and Practice on Hypertension through Community Intervention among Hypertensive Adults in Mukim Dalam Rhu, Kelantan”, yang memberi impak signifikan kepada masyarakat setempat di Kampung Mukim Dalam Rhu melalui program Kajian Komuniti dan Kes Keluarga (KKKK).


Penyelaras SULAM USM, Dr. Noor Alyani Nor Azazi, menyatakan rasa bangga terhadap kejayaan kedua-dua pasukan yang menyertai pertandingan ini buat julung kalinya, sambil menzahirkan penghargaan terhadap komitmen para pensyarah yang membimbing projek komuniti tersebut.
“Penyertaan julung kali ini menyerlahkan kesungguhan pelajar USM yang dibimbing pensyarah dalam melaksanakan projek komuniti berimpak tinggi, sekali gus mencerminkan komitmen universiti memperkukuh amalan SULAM sebagai platform pembelajaran berteraskan khidmat masyarakat,” kata Alyani.
Peruntukan daripada Bahagian Akademik & Antarabangsa (BAA) turut membantu memperluas pelaksanaan program SULAM melalui inisiatif dana bermula Semester 2, Sidang Akademik 2024/2025, yang kemudiannya diperkukuh dengan pemberian Geran SULAM mulai Semester 1, Sidang Akademik 2025/2026 melalui penambahbaikan kaedah pengukuran impak komuniti secara lebih sistematik dan berterusan.
Teks : Edzuwyn Fathin Mahyuddin & Dr. Noor Alyani Nor Azazi, Pusat Rancangan Kokurikulum/Foto: UniSZA
- Created on .
- Hits: 167