USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM HASILKAN GRADUAN PERTAMA DI BALIK TIRAI BESI

2V4A9892

USM PULAU PINANG, 26 November 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) buat julung kalinya melahirkan graduan pertama peringkat ijazah sarjana yang menamatkan pengajian ketika sedang menjalani hukuman penjara.

Mohd Khairul Ab Aziz, 43, berdaftar sebagai pelajar USM pada tahun 2020 ketika beliau berada di Penjara Seberang Perai.

Kejayaan ini dicapai hasil kerjasama erat antara pihak penjara dan USM, sekali gus merealisasikan impian Khairul untuk mengikuti pengajian walaupun masih berada di balik tirai besi.

2V4A9914

Beliau menerima skrol Ijazah Sarjana Sains Kemasyarakatan pada Sidang Ketiga Upacara Konvokesyen Ke-63 USM yang dipengerusikan oleh Pro-Canselor, Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan.

Ketika ditemui dalam sidang media, Mohd Khairul berkata kejayaan tersebut didedikasikan buat diri sendiri dan anak-anaknya, selain menjadi pembakar semangat untuk beliau meneruskan kehidupan.

“Saya tidak dapat mengubah masa silam dan tidak mampu memadam segala kesilapan yang pernah dilakukan. Saya mungkin bergelar banduan, namun biarlah gelaran itu membawa tanggapan berbeza.

“Saya keluar dengan semangat baharu untuk mengubah masa depan, mengembalikan maruah diri, serta membuktikan kepada anak-anak bahawa saya kini adalah insan yang berbeza,” ujarnya.

Menurutnya lagi, perjalanan menuntut ilmu bukan sesuatu yang mudah kerana setelah 14 tahun meninggalkan dunia pembelajaran, beliau perlu kekal fokus dalam persekitaran berbeza dengan sumber rujukan yang terhad.

“Setiap hari, saya hanya dibenarkan menggunakan internet selama sejam setengah untuk mencari bahan rujukan, yang kemudian dicetak dan dibawa pulang ke sel untuk dibaca.

“Pada peringkat permulaan pengajian, sepatutnya penyelia dibenarkan melawat saya di penjara untuk tujuan penyeliaan, namun apabila COVID-19 menular, penyeliaan bersemuka tidak dapat dijalankan.

“Penyeliaan hanya dibuat melalui telefon dan e-mel, dan ia sangat mencabar. Namun saya tidak berputus asa dan amat bersyukur kerana mendapat penyelia yang sangat menyokong usaha ikhlas saya,” katanya.

2V4A9824

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman berkata kejayaan Mohd Khairul bukan sahaja membuktikan ketekunan serta semangat juangnya, tetapi turut mencerminkan komitmen USM dalam menyediakan akses pendidikan inklusif kepada semua lapisan masyarakat.

“USM sentiasa membuka peluang kepada semua untuk menimba ilmu. Kejayaan ini turut menzahirkan komitmen USM dalam membudayakan pembelajaran sepanjang hayat,” ujarnya.

Turut hadir pada sidang media tersebut ialah Timbalan Pengarah Penjara Seberang Perai, Rozita Muhamad Sharif, yang mewakili Pengarah Penjara.

Khairul diselia oleh penyelia utama, Profesor Dr. Vicknasingam Balasingam Kasinather dan penyelia bersama, Profesor Madya Dr. Darshan Singh, kedua-duanya dari Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-Ubatan USM.

Ijazah pertama Khairul ialah dalam bidang Kimia Industri yang diperoleh pada tahun 2006. Pengajian sarjananya tertumpu kepada kajian penggunaan dadah jenis kokain dalam kalangan masyarakat di negara ini.

2V4A9875

Beliau turut memaklumkan bahawa kajiannya merupakan yang pertama di Malaysia berkaitan penggunaan dadah jenis kokain. Sebelum ini, rampasan kokain di Malaysia sering dikaitkan dengan aktiviti transit ke negara lain, dan belum dibuktikan penggunaannya dalam negara.

Hasil kajiannya juga telah dilaporkan dalam Global Cocaine Report oleh United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC), Vienna pada tahun 2023.

Khairul turut menzahirkan penghargaan kepada keluarganya, khususnya kakak beliau yang memberikan restu, sokongan serta sanggup membiayai yuran pengajiannya.

Sementara itu, Vicknasingam turut berkongsi pengalamannya menyelia pelajar yang berbeza daripada biasa, dan menyifatkan bahawa proses penyeliaan pelajar yang berada di penjara dan selepas dibebaskan merupakan satu cabaran baru dan besar.

“Setelah Khairul dibebaskan, beliau turut berdepan pelbagai cabaran peribadi dan sebahagian besar sesi bersamanya adalah untuk mendengar serta memberi nasihat mengenai kehidupan,” katanya sambil menzahirkan penghargaan kepada rakan penyelianya yang membantu sehingga Khairul berjaya menamatkan pengajian.

Teks: Prof. Dr. Vicknasingam Balasingam, Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-Ubatan USM & Marziana Mohamed Alias/Foto: MPRC  

  • Created on .
  • Hits: 335

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025