CSIRF 2013 PLATFORM PELAJAR PILIH KERJAYA
PULAU PINANG, 27 Sept 2013 – Penganjuran program khas Computer Science Intern and Recruitment Fair 2013 (CSIRF 2013) disifatkan sebagai platform terbaik untuk para pelajar membuat pilihan kerjaya dan mendapatkan tempat bagi program latihan industri.
Timbalan Naib Canselor Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), Profesor Dato’ Dr. See Ching Mey berkata, CSIRF anjuran Pusat Pengajian Sains Komputer (PPSK) itu amat bertetapan dalam usaha Universiti mengukuhkan jalinan dengan pihak industri.
Katanya, CSIRF menyediakan situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak yang mana pihak industri boleh mengiklankan dan mencari calon sesuai untuk kekosongan jawatan di organisasi mereka manakala pelajar pula dapat memilih kerjaya yang bersesuaian dengan kemahiran masing-masing.
``Program ini juga memberi peluang terbaik untuk para pelajar USM membuktikan kebolehan mereka serta menunjukkan kemahiran-kemahiran yang mereka peroleh sepanjang mengikuti pengajian di USM.
``Ia bukan sekadar ruang untuk para pelajar tahun akhir meninjau peluang kerja, sebaliknya CSIRF turut berperanan sebagai medan untuk para pelajar tahun tiga PPSK mendapatkan tempat untuk latihan industri mereka,’’ katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan program itu di Dewan Utama Pelajar, di sini baru-baru ini. Turut hadir ialah Dekan PPSK, Profesor Dr. Ahamad Tajudin Khader.
Program sehari tersebut memperlihatkan penyertaan dari lebih 10 syarikat termasuk Continental Automotive Components Malaysia Sdn. Bhd, National Instruments Malaysia Sdn. Bhd, Hilti Asia Services Sdn. Bhd, Alterra Corporation (M) Sdn. Bhd dan sebagainya.
Turut dimuatkan dalam program itu adalah pameran poster-poster penyelidikan yang dijalankan oleh para pelajar PPSK, temuduga khas, konsultansi dari syarikat-syarikat, pameran dan lain-lain lagi. Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1408