632 GRADUAN TERIMA SKROL IJAZAH DARI PRO-CANSELOR PADA SIDANG KELIMA UPACARA KONVOKESYEN KE-63 USM

USM, PULAU PINANG, 27 November 2025 – Sidang Kelima Konvokesyen Ke-63 Universiti Sains Malaysia (USM) disambut dengan tepukan gemuruh apabila muncul graduan penerima pingat emas USM terbanyak setakat lima sidang yang berlangsung.
Seramai 632 graduan menerima ijazah pada Sidang Kelima daripada pelbagai Pusat Pengajian termasuk Ilmu Kemanusiaan, Sains Farmasi, Teknologi Industri, Pusat Kecemerlangan Rekabentuk Mikroelektronik Negara (CEDEC) dan Pusat Teknologi Pengajaran dan Multimedia (PTPM).


Pro-Canselor USM, Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan, mengisytiharkan pembukaan Sidang Kelima Upacara Konvokesyen Ke-63 USM yang menandakan bermulanya penganugerahan ijazah kepada para graduan.
Sidang Kelima memberi pengiktirafan penuh kepada graduan dalam bidang Sastera, Sains Farmasi, Kejuruteraan Mikroelektronik, Instruksi Multimedia dan Sains Persekitaran merangkumi Ijazah Sarjana Muda serta Ijazah Sarjana, sekali gus memperkukuh reputasi USM sebagai universiti penyelidikan yang unggul merentas pelbagai bidang akademik.

Sarjana Muda Sastera (Kepujian) mencatat jumlah penerima tertinggi pada sidang ini yang menerima pingat emas USM dalam bidang Geografi, Kesusasteraan, Pengajian Bahasa Inggeris, Pengajian Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Kesusasteraan serta Terjemahan dengan Interpretasi.
Sidang Kelima turut menampilkan penganugerahan pingat emas dan hadiah buku sebagai penghargaan terhadap kecemerlangan luar biasa graduan sepanjang pengajian mereka di USM.
Antara penerima utama ialah Hanaffie Hasin (Pingat Emas Sarjana Sastera Hadith), Glory Tay Yuan Hui (Pingat Emas Sarjana Muda Sastera (Kepujian)) dan Siti Nadiah Abd Rahim (Pingat Emas Sarjana Farmasi dalam Farmasi Klinikal), manakala Raja Nur Maisara Raja Abdullah serta Syazana Mohd Yusoff Chua masing-masing menerima Hadiah Buku Sarjana Muda Sastera (Kepujian).
Teks: Muhammad Abid Naqiuddin Mohd Zaki, Pelajar Pusat Pengajian Komunikasi/Foto: Click Crew @ MPRC
- Created on .
- Hits: 109