USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PETIKAN UCAPAN PRO-CANSELOR, YBHG. TAN SRI DATUK DR. ZULKEFLI A. HASSAN PADA SIDANG KELIMA, KONVOKESYEN KE-63 USM

PETIKAN UCAPAN PRO-CANSELOR, YBHG. TAN SRI DATUK DR. ZULKEFLI A. HASSAN PADA SIDANG KELIMA, KONVOKESYEN KE-63 USM

  • Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan            
  • Pusat Pengajian Sains Farmasi          
  • Pusat Usahasama Kecemerlangan Rekabentuk Mikroelektronik (CEDEC)
  • Pusat Teknologi Pengajaran dan Multimedia (PTPM)                
  • Pusat Pengajian Teknologi Industri              

USM PULAU PINANG, 27 November 2025 – Sidang Kelima, Upacara Konvokesyen Ke-63, Universiti Sains Malaysia (USM) dimulakan dengan Pro-Canselor, Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan mengucapkan rasa syukur dan berbesar hati kerana dapat bersama-sama hadir di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) untuk menyampaikan ijazah kepada para graduan yang telah berusaha gigih sepanjang tempoh pengajian mereka.

WhatsApp Image 2025 11 27 at 19.29.07 4e3a4fe6

Beliau mengucapkan setinggi-tinggi TAHNIAH dan SYABAS kepada sejumlah 632 graduan Ijazah Sarjana dan Sarjana Muda dalam bidang Sains dan Sastera atas kejayaan menerima ijazah masing-masing pada hari yang penuh bermakna ini.

Zulkefli berkata, “Hari yang dinantikan para graduan telah tiba, di mana segala usaha, ketabahan dan pengorbanan anda sepanjang tempoh pengajian kini membuahkan hasil. Penganugerahan segulung ijazah pastinya amat bermakna buat diri anda dan keluarga yang menjadi sumber kekuatan anda sepanjang perjalanan ini.”

WhatsApp Image 2025 11 27 at 21.05.13 b43770b0

“Namun, ingatlah bahawa kejayaan pada hari ini bukanlah destinasi terakhir, sebaliknya permulaan kepada tanggungjawab yang lebih besar,” kata beliau.

“Anda kini merupakan pemegang amanah ilmu yang berperanan penting dalam mentransformasikan masa depan nusa, bangsa, dan negara tercinta dengan penuh kebijaksanaan dan integriti,” kata Zulkefli.

WhatsApp Image 2025 11 27 at 21.06.24 cb56025d

Menurut Zulkefli, USM terus meneguhkan kedudukannya sebagai Universiti berteraskan kelestarian dan kemanusiaan, di mana setiap bidang ilmu berkembang dalam satu ekosistem yang saling melengkapi.

Tambahnya, dalam bidang ilmu kemanusiaan, USM menjadi antara peneraju di rantau ini yang mengarusperdanakan nilai empati dan tanggungjawab sosial dalam pembangunan sains dan teknologi.

“Melalui inisiatif seperti Education for Sustainable Development dan Sustainability Across Curriculum, Universiti ini memperkukuh kefahaman bahawa kemajuan digital dan automasi mesti diseimbangkan dengan nilai moral serta keadilan sosial,” katanya.

WhatsApp Image 2025 11 27 at 21.06.00 cedbb5bd

Beliau memaklumkan bahwa dalam bidang farmasi dan kesihatan, USM kekal sebagai institusi rujukan utama di Malaysia dan rantau ASEAN.

Tambah beliau, melalui penyelidikan dalam bidang farmakogenomik, formulasi ubat mesra alam, dan penjagaan kesihatan digital, USM mengangkat konsep farmasi lestari yang memastikan inovasi ubat bukan sahaja menyembuh, tetapi turut memelihara keseimbangan ekosistem.

WhatsApp Image 2025 11 27 at 21.22.18 f923ab6c

Pusat Pengajian Sains Farmasi turut bekerjasama dengan industri bioteknologi dan agensi kesihatan antarabangsa dalam membangunkan model farmasi komuniti berasaskan data serta pendekatan sifar sisa di makmal, katanya lagi.

“Dalam reka bentuk mikroelektronik dan teknologi industri pula, USM menjadi nadi penyelidikan berimpak tinggi negara.”

Zulkefli memaklumkan bahawa USM telah bekerjasama rapat dengan syarikat global seperti Intel, TSMC, Infineon, Synopsys, dan Silterra dalam pembangunan cip cekap tenaga dan rendah karbon.

“Malaysia kini merupakan penyumbang kepada kapasiti pemasangan cip dunia. Oleh yang demikian, graduan USM memainkan peranan penting dalam teknologi pintar serta automasi hijau sejajar dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2030,” menurut beliau lagi.

Seterusnya kata Zulkefli, dalam bidang pendidikan dan teknologi multimedia pula, USM melalui Pusat Pembangunan Kecemerlangan Akademik (CDAE) dan Pusat Teknologi Pengajaran dan Multimedia (PTPM) terus memimpin inovasi pedagogi digital berteraskan prinsip pendidikan yang memanusiakan teknologi.

“Pendekatan ini memastikan teknologi digunakan untuk memperkaya pengalaman pembelajaran, bukan hanya menggantikan peranan guru,” ujarnya.

Tambahnya lagi, dari penggunaan realiti tambahan hingga simulasi interaktif, USM mendidik generasi pendidik dan pereka pengajaran untuk memahami keseimbangan antara teknologi dan nilai kemanusiaan.

“Semua ini menjadikan USM bukan sekadar institusi ilmu, tetapi sebuah ekosistem hidup yang memimpin perubahan dengan sains yang berperikemanusiaan, teknologi yang bertanggungjawab, dan ilmu yang membawa harapan kepada masa depan,” kata Zulkefli lagi.

Seterusnya Zulkefli berpesan, dalam mengejar inovasi dan pencapaian, graduan hari ini perlu menyedari bahawa setiap penemuan ilmiah bukan sekadar kebijaksanaan, tetapi juga kejujuran, amanah, dan tanggungjawab terhadap manusia serta alam.

“Inilah makna sebenar integriti dan akauntabiliti, iaitu dua nilai teras yang memastikan sains dan ilmu terus berjiwa manusia, beretika, dan membawa manfaat kepada kehidupan sejagat,” tegasnya.

Zulkefli juga berpesan bahwa kejayaan hari ini bukanlah hasil usaha sendiri semata-mata, tetapi lahir daripada sokongan tidak berbelah bahagi daripada ibu bapa, keluarga, dan para pendidik.

Beliau menyeru agar mereka semua tidak melupakan asal usul dan nilai murni yang dipupuk di Universiti ini.

“Semoga anda terus menjadi individu yang berilmu, berakhlak, dan berbakti,” beliau mengingatkan lagi.

Turut hadir pada Sidang Kelima ini adalah Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Ahli-ahli Senat USM; dan pegawai-pegawai utama Universiti.

WhatsApp Image 2025 11 27 at 21.07.41 114c25cc

Sidang Kelima merupakan sidang terakhir Konvokesyen ke-63 USM yang dipengerusikan oleh Pro-Canselor, Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan, selepas turut mempengerusikan Sidang Kedua, Ketiga, dan Keempat sebelum ini.

Upacara Konvokesyen Ke-63 USM sedang berlangsung di kampus Induk USM, bermula dari 25 November sehingga 2 Disember 2025 sebanyak 14 sidang.

Teks: Mazlan Hanafi Basharudin & Tan Ewe Hoe/Foto: MPRC  

  • Created on .
  • Hits: 102

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025