PENYELIDIK USM MENANG ANUGERAH SAINTIS MUDA NEGARA 2025

PUTRAJAYA, 27 November 2025 – Keunggulan penyelidikan Universiti Sains Malaysia (USM) terserlah apabila Prof. ChM. Dr. Mohd Hazwan Hussin dinobatkan sebagai penerima Anugerah Saintis Muda Negara (ASMN) 2025 bagi Kategori Kimia melalui inovasi antikakisan bio yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Hazwan, seorang pakar dalam pembangunan bahan antikakisan berasaskan bio daripada sisa biomassa, menerima pengiktirafan tersebut sebagai hasil penyelidikannya yang menyokong agenda kelestarian dan teknologi hijau negara.
Beliau memiliki rekod akademik cemerlang dengan lebih 200 penerbitan berwasit serta indeks-h 41, di samping menerima pengiktirafan antarabangsa termasuk sebagai Top Research Scientist Malaysia dan disenaraikan dalam kelompok Top 2% Scientists in the World.
Kepakarannya turut diterjemahkan kepada komersialisasi melalui pembangunan produk antikakisan, pendaftaran paten dan kerjasama strategik bersama pihak industri serta rakan antarabangsa, yang memperkukuh inovasi teknologi hijau negara pada skala lebih meluas.
Anugerah Saintis Muda Negara 2025, yang disampaikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang, merupakan platform tertinggi kerajaan bagi mengiktiraf sumbangan saintis muda kepada pembangunan sains, teknologi dan inovasi negara.

Majlis berprestij tersebut turut meraikan lima penerima dari pelbagai bidang sebagai galakan kepada pembentukan ekosistem penyelidikan yang lebih kompetitif serta pengukuhan jaringan akademia–industri, dengan setiap penerima menerima sijil dan hadiah wang tunai sebagai penghormatan rasmi kerajaan.
Sumber teks & Foto: Prof. ChM. Dr. Mohd Hazwan Hussin, Pusat Pengajian Sains Kimia
- Created on .
- Hits: 63