GRADUAN ISDEV TERAJU PEMBANGUNAN ISLAMIK DI USM
USM, PULAU PINANG, 26 November 2025 – Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) USM melahirkan graduan berprestij dalam bidang pembangunan Islam termasuk sistem kewangan Islamik, apabila seramai 29 graduan menerima pengijazahan pada peringkat Doktor Falsafah dan Sarjana pada Sidang Ketiga Upacara Konvokesyen Ke-63 USM.

Ditubuhkan pada tahun 2014, ISDEV diwujudkan bagi memperkenalkan disiplin baharu yang menggantikan dominasi pembangunan Barat dengan pendekatan pembangunan berasaskan perspektif Islam, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai pusat kecemerlangan kajian pengurusan pembangunan Islam di USM.
Menurut Pengarah ISDEV, Prof. Madya Dr. Shahir Akram Hassan, ISDEV berhasrat melahirkan pakar dalam bidang pengurusan pembangunan Islam merentasi disiplin sains sosial, pengurusan dan pengajian Islam, bagi memenuhi permintaan bidang yang semakin meningkat pada peringkat global.

“Mutakhir ini bidang pengurusan pembangunan Islam semakin diminati pada peringkat tinggi, namun graduan baharu kurang menceburi bidang ini, menyebabkan ISDEV menerima kemasukan pelajar antarabangsa yang sudah bekerja termasuk pensyarah universiti dari Oman, Nigeria dan Libya,” kata beliau.
Graduan Doktor Falsafah dari Brunei, Liza Maria Azhari, berkata faktor utama beliau menyambung pengajian di ISDEV ialah dorongan daripada perintis ISDEV USM, Prof. Dr. Muhammad Syukri Salleh, yang turut mengasaskan Fakulti Pengurusan Pembangunan Islam di Universiti Syarif Ali Brunei, sehingga mendorong beliau memilih USM sebagai destinasi pengajian.
“Saya membiayai pengajian tanpa bantuan luar, dan meskipun berdepan cabaran seperti pandemik serta kekangan kewangan, saya bersyukur dapat menamatkan pengajian tepat pada waktunya,” ujar Liza.
Selaras dengan falsafah ISDEV, seluruh warganya dianggap sebagai saudara melalui pendekatan pembelajaran dari hati ke hati yang diterapkan, bagi memastikan ilmu yang dipelajari memberi manfaat besar kepada komuniti Islam dalam bidang pengurusan pembangunan Islam.
Teks: Muhammad Abid Naqiuddin Mohd Zaki, pelajar Pusat Pengajian Komunikasi/Foto: Click Crew @ MPRC
- Created on .
- Hits: 158