USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

DARI SEL KE SIDANG KONVOKESYEN: USM REALISASIKAN IMPIAN KHAIRUL GENGGAM SARJANA

USM, PULAU PINANG, 26 November 2025 – Anak sulung daripada tiga beradik, Mohd Khairul bin Ab Aziz, menerima Ijazah Sarjana Sains Kemasyarakatan pada Sidang Ketiga Upacara Konvokesyen Ke-63 USM dengan kajian mengenai penerokaan penggunaan kokain di Malaysia, menjadikannya antara penyelidikan terawal seumpamanya di negara ini.

Screenshot 2025 11 27 at 2.54.49 PM

Khairul memulakan pengajian sarjana pada Julai 2020 di Universiti Sains Malaysia selepas menerima inspirasi daripada Presiden Persatuan Pengasih Malaysia, Hafizi Harun, dengan sokongan kewangan pengajian turut dibantu oleh ahli keluarga.

“Saya hanya diberikan satu jam 30 minit untuk menggunakan internet setiap hari, jadi saya menggunakan masa tersebut untuk mengemel penyelia kajian, mengumpulkan maklumat, menulis serta mencetak bahan supaya boleh dibawa balik ke sel dan menyambung penulisan,” kata Khairul.

Beliau berharap kajiannya dapat membantu masyarakat memahami bahawa mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah mampu berubah sekiranya diberikan sokongan dan tidak dilihat sebagai pelaku jenayah semata-mata, sekali gus mengubah naratif terhadap isu ketagihan.

Kajian Khairul, yang merupakan penyelidikan pertama seumpamanya di Malaysia, telah dimasukkan ke dalam laporan Global Cocaine Report terbitan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC).

Khairul turut menyatakan hasrat untuk bertemu anak-anaknya selepas setahun tidak dibenarkan berbuat demikian oleh bekas isteri, dengan harapan agar mereka mengetahui perubahan yang sedang diusahakannya untuk memulihkan reputasi diri.

Screenshot 2025 11 27 at 2.54.29 PM

“Perubahan datang daripada diri sendiri dan dengan bantuan orang terdekat; ahli keluarga serta penyelia saya, Prof. Dr. Vicknasingam Balasingam Kasinather dan Prof. Madya Dr. Darshan Singh, sentiasa memberi sokongan tanpa putus asa dalam membantu saya menamatkan kajian ini,” kata Khairul.

Teks: Farisha Norlia Akihito/Sumber Foto: Harian Metro dan BERNAMA

  • Created on .
  • Hits: 71

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025