USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

UNCLE JET GRADUAN PERUBATAN TERTUA MALAYSIA, RAIH IJAZAH PADA USIA 57 TAHUN

2V4A0251

USM PULAU PINANG, 27 November 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) melakar sejarah tersendiri apabila Dr. Ng Jet Kwan, atau lebih mesra disapa dengan panggilan "Uncle Jet," 57, menerima Ijazah Doktor Perubatan (MD) pada Sidang Keempat, Konvokesyen Ke-63 USM yang berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), USM Pulau Pinang.

Dilahirkan di Batu Pahat, Johor pada 1968, beliau kini merupakan graduan MD tertua di Malaysia, setelah berjaya menamatkan pengajian melalui laluan USM+1.

Sejak kecil, Dr. Ng bercita-cita menjadi seorang doktor.

Namun pada awal 1990-an, peluang amat terhad kerana hanya terdapat empat institusi pendidikan tinggi awam yang menawarkan program Perubatan di Malaysia, menjadikan persaingan sangat tinggi.

2V4A0222

Beliau tidak berjaya menempatkan diri dalam pengajian perubatan dan sebaliknya meneruskan pengajian dalam bidang kejuruteraan di United Kingdom sebelum kembali ke tanah air dan berkhidmat di negara jiran Singapura.

Lebih tiga dekad kemudian, impian beliau kembali bersinar apabila mendapat maklumat daripada rakan bahawa USM menawarkan program MD melalui laluan USM+1. Setelah meneliti syarat dan kelayakan, beliau mendapati ia sepadan dengan latar akademiknya.

Beliau memohon dan bersyukur diterima masuk sebagai pelajar.

Program MD USM+1 merupakan program lima tahun yang merangkumi pengajian pra-klinikal tahun 1 dan 2 di luar USM, manakala tahun 3 hingga 5 dijalankan sepenuh masa di Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian.

Menariknya, belajar bersama rakan sekelas yang jauh lebih muda tidak langsung menjadi cabaran buat Dr. Ng. Beliau menyifatkan rakan-rakan sekelas sebagai antara pelajar terbaik negara, sangat membantu dan menerima kehadirannya dengan baik.

2V4A0246

Pengalaman sama turut dirasai bersama pensyarah dan pakar perubatan yang membimbingnya sepanjang pengajian.

“Walaupun ada pensyarah lebih muda daripada saya, itu bukan penghalang. Malah, ada yang sebaya, dan kami boleh berbincang secara santai,” katanya.

Antara cabaran awal baginya ialah memahami loghat Kelantan. Namun beliau pantas menyesuaikan diri kerana sifat masyarakat Kelantan yang peramah dan mudah mesra.

Dari segi makanan pula, beliau mengakui seleranya lebih condong kepada masakan Johor, namun tetap menyesuaikan diri sepanjang berada di Kelantan.

Dr. Ng bahagia bersama isteri dan dua anak perempuan, seorang kini doktor residen di Amerika Syarikat, manakala seorang lagi peguam di Australia. Isterinya turut menjadi penyokong nombor satu dan sering menemani beliau sepanjang tempoh pengajian.

Beliau menjadikan Confucius sebagai role model kerana falsafah pembelajaran sepanjang hayat dan nilai kebaikan sesama manusia.

Mengenai rahsia kejayaan pada usia emas, Dr. Ng menegaskan tiada petua khusus selain keberanian merebut peluang apabila ia datang.

“Kesihatan dan kesejahteraan minda sangat penting. Jika peluang ada, rebutlah. Kita sendiri menentukan kejayaan kita,” ujarnya.

Beliau merakamkan penghargaan mendalam kepada Dekan PPSP, Profesor Dr. Kamarul Aryffin Baharuddin, dan para pensyarah, khususnya mentor beliau, Profesor Dato’ Dr. Jafri Malin Abdullah, yang banyak memberi pedoman dan semangat, serta rakan-rakan sepengajian.

WhatsApp Image 2025 11 27 at 13.47.10

Beliau turut berterima kasih kepada Kementerian Kesihatan Malaysia kerana dasar yang membolehkan beliau mengejar cita-cita zaman kanak-kanak.

Selepas menamatkan latihan housemanship, Dr. Ng berhasrat mendapatkan lesen dan permit untuk membuka klinik sendiri.

2V4A0251

Beliau juga berkongsi pandangannya mengenai sistem kesihatan negara yang menurutnya masih mempunyai ruang untuk diperkasakan — termasuk isu waktu kerja yang panjang serta keperluan peningkatan kemudahan dan teknologi perubatan setaraf negara maju.

WhatsApp Image 2025 11 27 at 13.47.10 1

“Saya amat berbangga menjadi graduan USM,” katanya menutup bicara.

Teks: Amyrulhan Azhari, Pejabat Pengarah Kampus & Pusat Media dan Perhubungan Awam, Kampus Kesihatan USM/Foto: MPRC

  • Created on .
  • Hits: 282

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025