USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SIDANG KEEMPAT USM SERLAHKAN KECEMERLANGAN GRADUAN DALAM BIDANG SAINS PERUBATAN DAN SAINS FIZIK

USM, PULAU PINANG, 27 November 2025 – Selepas Sidang Ketiga yang menghimpunkan tokoh penyelidikan dan penerima ijazah tinggi, Sidang Keempat Konvokesyen Ke-63 Universiti Sains Malaysia (USM) menyaksikan dewan bergema dengan sorakan bagi meraikan kumpulan penerima Sarjana terbesar setakat ini, yang melibatkan seramai 684 graduan daripada pelbagai bidang berkaitan kesihatan, sains gunaan dan penyelidikan teknologi.

WhatsApp Image 2025 11 27 at 10.58.22 1

Sidang ini memberi fokus sepenuhnya kepada pengiktirafan graduan dalam bidang sains kesihatan, perubatan, psikologi dan sains fizikal, sekali gus menonjolkan kekuatan USM sebagai universiti penyelidikan bertaraf dunia yang melahirkan tenaga mahir dalam sektor kritikal.

Seramai 31 graduan dalam bidang Kesihatan Awam dan Neurosains berjaya menamatkan pengajian masing-masing dalam program Sarjana Kesihatan Awam, Sarjana Neurosains dan Sarjana Neurosains Kognitif, yang memainkan peranan penting dalam menangani isu kesihatan awam dan pembangunan neuroteknologi semasa.

Sarjana Perubatan mencatatkan jumlah penyertaan tertinggi dengan 208 graduan dalam pelbagai bidang kepakaran seperti Perubatan Kecemasan, Anestesiologi, Ortopedik, Pediatrik, Surgeri, Obstetrik dan Ginekologi, Radiologi, Perubatan Keluarga, Penyakit Dalam, Psikiatri dan lain-lain, yang dijangka mengukuhkan sistem perkhidmatan kesihatan negara.

WhatsApp Image 2025 11 27 at 10.58.22

Bagi program Psikologi Klinikal, seramai 11 graduan diraikan yang dijangka menyumbang kepada peningkatan kesihatan mental masyarakat, manakala dalam bidang Sarjana Sains Fizik dan Geofizik, seramai 108 graduan menerima pengiktirafan dengan pengkhususan dalam Fizik Keadaan Pepejal, Fizik Perubatan, Geofizik Gunaan dan Sains Sinaran.

Di peringkat Sarjana Muda Sains, 132 graduan turut diraikan dalam bidang Fizik, Fizik Gunaan, Fizik Perubatan dan Geofizik, yang menunjukkan minat konsisten terhadap aplikasi sains dalam pembangunan industri, tenaga dan teknologi negara.

Sidang Keempat turut menyaksikan penganugerahan pingat emas dan hadiah buku sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan luar biasa graduan yang menunjukkan prestasi akademik cemerlang sepanjang pengajian.

WhatsApp Image 2025 11 27 at 10.58.21

Antara penerima utama ialah Nur Sabrina binti Halimi (Pingat Emas Sarjana Neurosains Kognitif), Karimah Md Wahit Hasim (Pingat Emas Sarjana Perubatan), dan Nurul Asyikin Ghazali (Pingat Emas Doktor Perubatan), manakala Ooi Wing Kuan menerima Hadiah Buku Doktor Perubatan, dan Chan Yong Keat serta Ngo Hui Wen masing-masing menerima Pingat Emas Sarjana Muda Sains Fizik dan Sarjana Sains Fizik Perubatan.

Teks: Ain Nafisah Mustika Mohamad Razali, pelajar Pusat Pengajian Komunikasi/Foto: Click Crew @ MPRC

  • Created on .
  • Hits: 77

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025