USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KEJAYAAN 694 GRADUAN WARNAI SIDANG KETIGA KONVOKESYEN KE-63 USM

USM, PULAU PINANG, 26 November 2025 – Majlis Konvokesyen Universiti Sains Malaysia (USM) Ke-63 Sidang Ketiga diisytiharkan pembukaannya oleh Pro-Canselor, Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan, dan berlangsung dengan penuh meriah bagi meraikan graduan daripada pelbagai peringkat pengajian melibatkan penganugerahan Ijazah Tinggi dan Ijazah Sarjana Muda.

WhatsApp Image 2025 11 26 at 22.56.13

Majlis bermakna ini menghimpunkan graduan daripada pelbagai pusat pengajian, melibatkan seramai 398 penerima Ijazah Sarjana dan 296 penerima Ijazah Sarjana Muda.

Penganugerahan Ijazah Sarjana pada sidang ini merangkumi graduan daripada Pusat Pengajian Sains, Sains Kemasyarakatan, Sarjana Amalan Pembangunan Lestari serta Sarjana Sains Kemasyarakatan (Pengurusan Pembangunan Islam), yang secara kolektif mencerminkan kepelbagaian bidang pengajian di USM.

Sidang ketiga ini turut mencatat detik bersejarah melalui kejayaan graduan Pusat Pengajian Pengurusan dalam program pengajian Kewangan, Organisasi dan Pemasaran, Sarjana Muda Strategik dan Pengurusan Organisasi serta Sarjana Muda Pengurusan Kewangan, yang menerima skrol masing-masing pada sidang tersebut.

Bagi penganugerahan Ijazah Sarjana, Pusat Pengajian Sains muncul sebagai pusat pengajian dengan jumlah graduan tertinggi apabila seramai 239 graduan menerima skrol mereka, sekali gus memperlihatkan komitmen berterusan pusat pengajian tersebut dalam melahirkan graduan berkemahiran tinggi.

Sementara itu, bagi penganugerahan Ijazah Sarjana Muda, Pusat Pengajian Pengurusan mencatatkan bilangan graduan tertinggi iaitu seramai 146 orang, yang menamatkan pengajian dalam program Organisasi dan menerima skrol pada Sidang Ketiga.

WhatsApp Image 2025 11 26 at 22.56.14

Pro-Canselor, Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan, dalam ucapan penutup beliau menegaskan bahawa para graduan telah menyumbangkan ilmu yang memperkayakan negara dan dunia, dengan setiap penemuan dan penyelidikan mereka mewujudkan nilai baharu serta memberi impak kepada kesejahteraan manusia sejagat.

“Sains dan penyelidikan bukan sekadar untuk menambah pengetahuan, tetapi pemangkin kepada inovasi yang mampu meningkatkan produktiviti, memperkukuhkan daya saing ekonomi dan memperbaiki kualiti hidup rakyat,” jelas beliau.

Majlis Konvokesyen Sidang Ketiga berakhir dengan suasana penuh meriah, meninggalkan kenangan manis sebagai simbol pencapaian gemilang para graduan, di mana setiap skrol yang diterima bukan sahaja menandakan kejayaan akademik tetapi juga pengiktirafan terhadap usaha, dedikasi dan ketekunan sepanjang perjalanan pengajian mereka.

Teks: Nurul Iffah Athirah Mohamad Aidil/Foto: Click Crew @ MPRC

  • Created on .
  • Hits: 75

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025