USM RANCANG KELUARKAN SISWAZAH UNTUK DUNIA
SIK, 29 September 2013 - Universiti Sains Malaysia (USM) berhasrat untuk memastikan kira-kira 40% dari siswazahnya mempunyai set minda global yang boleh bekerja di mana sahaja di dunia.
Demikian dinyatakan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman ketika menutup Kem PIMPIN Siswa di Beris di sini hari ini.
“Kita ingin memastikan agar mahasiswa yang sedia ada mempunyai kualiti diri yang menyeluruh untuk membina negara pada masa hadapan dan pada masa yang sama menyumbang kepada pembangunan dunia seluruhnya di samping ingin melihat siswazah kita pada akhirnya dapat bekerja di mana sahaja di dunia ini,” kata Omar.
Beliau menerangkan tentang program Kesarjanaan APEX atau APEX Scholar dalam ucapannya kepada kira-kira 120 orang peserta PIMPIN Siswa yang terdiri daripada mahasiswa tahun pertama yang mengikutinya sejak Jumaat lalu.
Mereka adalah kumpulan terakhir pada tahun ini yang mengikuti program PIMPIN Siswa yang telah bermula empat minggu lalu. Program PIMPIN Siswa merupakan inisiatif Omar tatkala memegang jawatan Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal & Pembangunan Pelajar) pada tahun 2009 setelah USM dipilih menjalani Program Pemacuan untuk Kecemerlangan (APEX) pada September 2008.
Menurut Omar, melalui Program Kesarjanaan APEX nanti, mereka akan berpeluang mengikuti pelbagai program latihan dan sangkutan (internship) termasuk di luar negara melalui sokongan pelbagai agensi kerajaan dan pihak swasta serta industri di samping mengasah bakat kepimpinan dalam kalangan mereka.
“Kita mengharapkan dapat meningkatkan penyertaan siswazah kita dalam kerjaya di seluruh dunia daripada sekarang ini 20% dari keseluruhan siswazah yang ada kepada kira-kira 40% serta memastikan mereka boleh bekerja di luar negara sebagai pemimpin masa hadapan,” kata Omar.
Tambahnya lagi, program seperti PIMPIN Siswa ini misalnya dapat membantu meningkatkan keupayaan dan keyakinan diri dalam kalangan mahasiswa namun ia perlu ditingkatkan malah diperluaskan agar dapat pula menjadi medan untuk berinteraksi, membangunkan daya inovasi, kreativiti dan intelektual serta kesukarelawanan secara lebih berfokus.
Menyentuh tentang program PIMPIN Siswa, Omar berkata, “program ini telah memberikan peluang kepada mahasiswa untuk melalui pengalaman baharu, merasai kepayahan dan kesukaran termasuk pengalaman bermalam di dalam khemah serta yang paling utama ialah bekerja sebagai satu pasukan yang saling bantu membantu tanpa mengira kelainan dan menghargai kepelbagaian yang ada.”
Hadir sama ialah Komandan Kem Beris, Khairul Eruwan Abdul Halim dan fasilitator dalam kalangan para pegawai, pensyarah dan staf universiti serta para pelajar senior.
Naib Canselor USM itu turut menandatangani plak pokok meranti (Shorea roxburghii) yang ditanam beliau pada 5 julai 2009 ketika program PIMPIN Siswa mula dilaksanakan oleh USM. Teks: Mohamad Abdullah / Foto: Mohamad Danial Shahri
- Created on .
- Hits: 1299