“SAYA LEBIH MENGHARGAI ERTI PERPADUAN” – LIM KOK KHENG
GURUN, 26 JANUARI 2015 – “Saya lebih menghargai apa ertinya perpaduan dan toleransi selain mengajar saya untuk mendisiplinkan diri dalam apa juga cabaran yang dilalui”
Demikian kata Lim Kok Kheng, pelajar tahun empat Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM) dengan pengkhususan Ekonomi.
Menurut Lim yang merupakan segelintir kecil kadet senior Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) bukan Melayu, dia langsung tidak rasa terasing dan lebih merasai nikmat sekeluarga dengan ahli kadet lain.
“Saya gembira bersama-sama kadet lain, gelak tawa, suka duka dalam melalui cabaran dan latihan keras, kami harungi bersama tanpa mengira perbezaan kaum dan agama,” katanya.
Ujar Lim, tiada sebab untuk kita wujudkan jurang atas sebab perbezaan kaum kerana kita semua dilahirkan di tanah air tercinta ini.
“Saya tidak pernah dipinggirkan, malah kerap kali diberi peluang oleh jurulatih untuk lebih ke hadapan dalam alam ketenteraan ini”
Lim anak jati Padang Serai, Kedah berkata sepanjang penglibatan beliau di dalam PALAPES, beliau banyak belajar untuk sentiasa berdisiplin, tegas dan berani mencabar diri.
“Saya tidak suka berada di zon selesa untuk masa yang lama atas sebab itu saya sentiasa mencari peluang baru yang jarang diterokai untuk pembangunan diri”
“Dari kecil keluarga saya amat mementingkan disiplin terutamanya hidup berperaturan, atas didikan itulah saya berani menyertai PALAPES kerana ia mengajar saya untuk menepati setiap peraturan yang ditetapkan”
Tambah Lim, sejak dari bangku sekolah lagi beliau terlibat dengan pelbagai aktiviti kokurikulum selain tidak mengabaikan kecemerlangan akademik.
“Saya pernah dilantik sebagai Ketua Pengawas di sekolah, dan kepercayaan yang diberikan oleh guru atas tanggungjawab tersebut saya teruskan hingga ke universiti untuk menyertai kokurikulum bercorak kepimpinan”
Ditanya mengenai bagaimana beliau menguruskan tekanan dalam menghadapi latihan yang disediakan PALAPES, dengan penuh senyuman Lim berkata,
“Sentiasa berfikiran positif, jangan terlintas sedetik pun untuk berkata tidak boleh dan bijak menilai sebelum membuat keputusan tanpa menggunakan emosi”
Lim turut menyuarakan hasrat agar lebih ramai bukan Melayu menyertai PALAPES kerana ia banyak memberi kesan positif diri terutamanya menghargai perpaduan.
“Apa yang penting, tanamkan minat untuk merubah diri kerana melalui latihan-latihan mencabarlah yang membuatkan kita akan lebih bersedia menghadapi alam pekerjaan akan datang”
Lim ditemui pada Pertandingan Menembak Jatuh Piring 2015 sempena program latihan berterusan pada cuti semester untuk semua ahli Kadet di Kem Hobart, Gurun, Kedah yang turut dihadiri oleh Naib Canselor Profesor dato' Dr. Omar Osman dan Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal dan Pembangunan Pelajar) Profesor Dr. Adnan Hussein. Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 2102