USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SIDANG KETIGA KONVOKESYEN: ANGKAT GRADUAN BARISAN HADAPAN DSTIN 2030

USM, PULAU PINANG, 26 November 2025 – Pro-Canselor Universiti Sains Malaysia, Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan, mengisytiharkan pembukaan Sidang Ketiga Upacara Konvokesyen Ke-63, menandakan kesinambungan majlis yang meraikan graduan sarjana dan sarjana muda di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP).

WhatsApp Image 2025 11 27 at 21.27.24 eac8c985

Sidang ketiga ini menghimpunkan graduan daripada pelbagai bidang merangkumi sains, sastera, pengurusan, pergigian dan pembangunan, yang secara kolektif mencerminkan peranan USM sebagai institusi yang melahirkan bakat merentas disiplin ilmu sains, kemanusiaan dan teknologi.

WhatsApp Image 2025 11 27 at 21.27.25 cc1e6464

Penganugerahan ijazah tinggi dan ijazah sarjana muda berjalan lancar sehingga selesai penyampaian sijil kepada para graduan, sebelum majlis ditutup dengan ucapan rasmi oleh Pro-Canselor yang menyampaikan amanat khas kepada para hadirin.

Dalam ucapannya, beliau menzahirkan rasa syukur dapat meraikan kecemerlangan 745 graduan daripada pelbagai mod pengajian serta pusat kecemerlangan penyelidikan, yang masing-masing mewakili kekuatan akademik USM dalam pelbagai disiplin.

Beliau turut menegaskan bahawa penyelidikan yang memberikan ilmu baharu perlu terus diperkasa demi kesejahteraan manusia sejagat, dengan pendekatan merentas bidang, industri dan institusi menjadi asas pendidikan di USM.

WhatsApp Image 2025 11 27 at 21.27.24 d055b561

“Industri serta komuniti perlu menjadi tunjang kekuatan akademik dan penciptaan di USM melalui pembudayaan kerjasama industri dan komuniti,” ujar beliau.

Menurutnya, graduan yang diraikan bukan sahaja diperkasa dengan ilmu, tetapi turut memiliki kemampuan inovasi yang dapat meningkatkan produktiviti, memperkukuh daya saing ekonomi dan memperbaiki kualiti hidup rakyat, selari dengan matlamat Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) ke arah menjadikan Malaysia negara berteknologi tinggi menjelang 2030.

WhatsApp Image 2025 11 27 at 21.27.25 47ac5ed1

Sidang Ketiga Konvokesyen Ke-63 USM sekali lagi mencerminkan komitmen universiti dalam melahirkan graduan yang bersedia menyumbang kepada negara dan dunia, dengan asas akademik kukuh serta semangat penyelidikan merentas bidang yang melengkapkan mereka sebagai tenaga baharu untuk menjayakan aspirasi DSTIN 2030.

Teks: Sara Hannah Sahan Shah, pelajar Pusat Pengajian Komunikasi/Foto: MPRC

  • Created on .
  • Hits: 181

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025