IJAZAH TERAKHIR ARWAH: SUAMI HADIR PENUHI IMPIAN ISTERI TERCINTA

USM PULAU PINANG, 26 November: Sidang Ketiga Upacara Konvokesyen ke-63 Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menyaksikan momen penuh hiba apabila Abdul Aziz Muhamad, 40, menerima skrol Ijazah Anumerta bagi pihak isterinya, Allahyarham Nadia Annie Mohamed Ariffin yang menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Kewangan) dari Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ).
Menurut Abdul Aziz, isterinya tidak menghidap sebarang penyakit serius, hanya asma biasa.
Namun, takdir menentukan sebaliknya apabila Allahyarham Nadia Annie menghembuskan nafas terakhirnya pada 31 Ogos lalu akibat ‘Cardiopulmonary Failure Secondary to Asthmatic’ dan dikategorikan sebagai mati mengejut (sudden death).

“Selepas buat postmortem, memang doktor klasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
“Isteri saya sebelum ini memang sihat sahaja,” tambahnya lagi.
Walaupun pemergian Allahyarham masih dirasai, Abdul Aziz tetap hadir menerima skrol bagi memenuhi impian terakhir isterinya.
“Saya rasa syukur sebab cita-cita arwah isteri saya tercapai walaupun dia tiada dekat sini,” ujarnya.
Beliau menggambarkan Allahyarham sebagai seorang yang bijak dan sentiasa memperoleh keputusan dekan dan cemerlang sepanjang tempoh pengajiannya.

“Itu adalah rezekinya yang telah ditentukan oleh Tuhan, maka saya harus redha dan menerima. Segala kenangan bersama Allahyarham akan tetap dikenang, namun kehidupan mesti diteruskan,” katanya lagi.
Penganugerahan ini menjadi tanda penghargaan terhadap kegigihan Allahyarham dalam menamatkan pengajiannya serta simbol kasih dan penghormatan keluarga terhadap usaha akademiknya.
Teks: Anis Ariney Mohd Asri/Foto: MPRC USM
- Created on .
- Hits: 199