TAPAK CONVEX USM BANTU JANA EKONOMI PENIAGA TEMPATAN
USM, PULAU PINANG, 26 November 2025 – Majlis Konvokesyen Ke-63 Universiti Sains Malaysia (USM) memberi limpahan manfaat kepada peniaga kecil sekitar Pulau Pinang yang mengambil peluang berniaga di perkarangan Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP).

Meskipun berdepan cuaca tidak menentu pada penghujung tahun ini, para peniaga tetap komited memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengunjung konvokesyen.

Upacara konvokesyen ini secara tidak langsung menjadi platform untuk menambah pendapatan harian peniaga tempatan, selain memberi peluang pekerjaan sambilan kepada pelajar semasa cuti pertengahan semester.
Penjual kebab dan shawarma dari Perak, Norizawati Abdullah, 47, berkata beliau memulakan perniagaan sekitar jam 10 pagi dan menamatkan jualan pada jam 11 malam, selari dengan acara konsert malam yang menarik ramai pengunjung.
“Masalah banjir akibat hujan lebat semalam menjejaskan perniagaan saya tetapi penganjur segera bertindak balas dengan menambah tapak laluan di gerai jualan kami,” katanya.

Penganjur tetap komited menjaga imej universiti agar kebajikan dan keperluan peniaga sentiasa terpelihara sepanjang minggu konvokesyen berlangsung.
Penjual bunga felt, Ahmad Zaki Tajulurus, 33, dari Kedah, yang telah empat tahun berturut-turut membuka gerai sempena konvokesyen USM, berkata jualan pada minggu ini melonjak berbanding perniagaan di luar kampus.
“Dalam masa dua hari sahaja, jualan kami berjaya melepasi kos modal dan dianggarkan mencecah RM40,000, hasil sokongan pengunjung serta kemudahan penganjur yang membantu kami mempamerkan barangan dengan lebih sistematik,” ujar beliau.
Kehadiran ribuan pengunjung pada Konvokesyen Ke-63 USM bukan sahaja menyemarakkan suasana kampus, malah turut membuka ruang buat peniaga kecil memperluas jaringan niaga ke peringkat lebih tinggi.
Teks: Muhammad Abid Naqiuddin Mohd Zaki, pelajar Pusat Pengajian Komunikasi/Suntingan: Shafinaz Md Ismail/Foto: Click Crew @ MPRC
- Created on .
- Hits: 277