SIDANG 2: 864 GRADUAN DOKTORAL DIRAIKAN, UNIVERSITI TERUS KUKUHKAN KECEMERLANGAN PENYELIDIKAN
USM, PULAU PINANG, 26 November 2025 – Sebanyak 864 graduan doktoral diraikan dalam Sidang 2 Majlis Konvokesyen Universiti Sains Malaysia (USM) ke-63, yang membuka tirai hari kedua dengan penganugerahan tertinggi kepada penyelidik muda sebagai lambang kecemerlangan akademik universiti.

Majlis penuh istiadat itu memberi tumpuan kepada pengiktirafan kepada 818 graduan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) yang mana ia adalah jumlah tertinggi dalam sejarah USM.

Sebanyak 46 lagi penerima terdiri daripada bidang doktoral lain seperti Doktor Kesihatan Awam (DrPH), Doktor Kesihatan Awam Pergigian (DrPHG), Doktor Pendidikan (EdD), dan Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA).

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, menyifatkan majlis ini bukan semata-mata pengiktirafan akademik tetapi turut mencerminkan perjalanan ilmu yang menyemai nilai kemanusiaan demi mencorak masa depan negara.
Beliau turut menekankan bahawa ilmu yang diperoleh perlu dimanfaatkan untuk memperkasa masyarakat, sejajar dengan falsafah tokoh perubatan terkenal, Sir William Osler yang menyebut: “The good physician treats the disease, the great the patient who has the disease.”
“Falsafah ini merentas bidang perubatan dan mencerminkan jiwa sebenar seorang sarjana kedoktoran melihat manusia secara menyeluruh, memahami konteks sosial, dan memimpin perubahan yang memberi makna kepada kehidupan rakyat” hujahnya.
Dalam masa yang sama, beliau menegaskan bahawa kejayaan graduan doktoral merupakan hasil sokongan seluruh ekosistem universiti termasuk pensyarah, pentadbir, staf sokongan, rakan industri, komuniti dan institusi seperti PTPTN yang memperluas akses pendidikan tinggi.
Beliau berkata, universiti bukanlah menara gading yang terasing tetapi entiti hidup yang berdenyut bersama masyarakat, di mana setiap kejayaan akademik bergantung kepada kolaborasi strategik dengan pelbagai pihak demi menterjemah pengetahuan kepada inovasi, kesejahteraan dan kemajuan.
Penganugerahan ini membuktikan komitmen berterusan USM dalam melahirkan sarjana berkualiti yang bukan hanya membawa gelaran doktor, tetapi sebagai pemimpin pemikiran dan agen perubahan dalam menyumbang kepada pembangunan negara.
Teks: Ain Nafisah Mustika Mohamad Razali, pelajar Pusat Pengajian Komunikasi/Suntingan: Shafinaz Md Ismail/Foto: MPRC
- Created on .
- Hits: 262