USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

INOVASI PELAJAR SOTA RAIH EMAS DI USM-AUSC 2025: MEMACU SDG 3

WhatsApp Image 2025 11 24 at 12.33.16

PULAU PINANG, 25 November 2025 – Dua pelajar daripada Bahagian Rekabentuk Produk, Pusat Pengajian Seni (SOTA), Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengharumkan nama universiti apabila meraih pingat emas di USM-AUSC International Sports Innovation Challenge 2025 melalui inovasi yang secara langsung menyumbang kepada Matlamat Pembangunan Mampan 3 (SDG 3): Kesihatan dan Kesejahteraan yang Baik, dengan SOTA menzahirkan rasa bangga terhadap kejayaan tersebut.

WhatsApp Image 2025 11 24 at 12.33.17

 

Ms. Tan Zi Wei bersama penyelia, Puan Noor Azlina Mohamed Khalid, meraih pingat emas dan tempat ketiga bagi Kategori Sarjana Muda melalui inovasi bertajuk ‘Patient-Centric Design: UV-Protective Clothing to Support SLE Patients’ Health and Fitness Goals’, yang menonjolkan pendekatan reka bentuk berfokus pesakit.

WhatsApp Image 2025 11 24 at 12.33.17 1

Mr. Chan Hou Yuan bersama Puan Noor Azlina Mohamed Khalid dan Dr. Jazmin Jaafar turut memenangi pingat emas bagi Kategori Sarjana Muda melalui inovasi ‘Youu Do: An Integrated Multifunctional Hand Exercise Rehabilitation Tool’, yang memberi tumpuan kepada keperluan pemulihan tangan secara menyeluruh.

Dianjurkan oleh Pusat Sukan dan Rekreasi USM dengan kerjasama Majlis Sukan Universiti ASEAN (AUSC), Pejabat Inovasi dan Perundingan (CIC) USM dan UiTM Cawangan Pulau Pinang, program yang berlangsung pada 21–23 November 2025 di Setia SPICE Arena direkabentuk sebagai platform perkongsian pengetahuan antara akademia dan industri sukan, bagi memupuk jaringan profesional menerusi penyelidikan, inovasi kejurulatihan dan pembangunan sukan serantau.

Pertandingan ini menghimpunkan lebih 400 peserta dari Malaysia dan Indonesia bersama 50 reruai inovasi serta 6 pameran, menjadikannya pentas penting untuk pertukaran pengetahuan dan kolaborasi antara penyelidik, pengamal industri dan komuniti sukan ASEAN.

Majlis penutup telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan & Inovasi USM, Prof. Dr. Habibah A. Wahab, yang dalam ucapannya menekankan bahawa inovasi sukan bukan sahaja meningkatkan prestasi dan kesihatan, malah berperanan mendukung kelestarian serta kesejahteraan komuniti secara menyeluruh.

WhatsApp Image 2025 11 24 at 12.33.17 2

Mantan Menteri Kesihatan Malaysia serta Menteri Belia dan Sukan, YB Khairy Jamaluddin Abu Bakar, turut meluangkan masa mengunjungi tapak pameran pelajar SOTA USM yang mempamerkan penyelidikan Projek Tahun Akhir berkaitan pembangunan pakaian pelindung UV pintar untuk pesakit Systemic Lupus Erythematosus (SLE), yang direka bagi meningkatkan keselamatan, keselesaan dan keyakinan mereka ketika bersukan dan menjalani aktiviti luar.

Rekaan tersebut dicadangkan bagi membolehkan pesakit SLE menjalani gaya hidup lebih aktif dengan selamat dan yakin melalui penglibatan dalam aktiviti fizikal, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kesihatan fizikal, kecergasan serta kesejahteraan menyeluruh meliputi aspek mental dan sosial.

SOTA USM terus komited melahirkan bakat kreatif dan inovatif yang memberi impak kepada komuniti serantau dan global melalui garapan reka bentuk berteraskan kreativiti, inovasi dan kelestarian yang menyumbang kepada kesihatan serta kesejahteraan masyarakat.

Syabas diucapkan kepada para pelajar atas pencapaian ini, yang sekali lagi mengangkat nama USM di persada serantau.

Teks & Foto: Pusat Pengajian Seni/Suntingan: Shafinaz Md Ismail

  • Created on .
  • Hits: 317

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025